Kaum Inteligensia dan Pemberdayaan Sosial

DISKUSI TERBUKA SEKPOL-Mu’tah (1)

Bab-1, Cendekiawan Melayu Penyukuh Emansipasi: Kaum Inteligensia Berfungsi dan Pemberdayaan Sosial, Karya Dr Azhar Ibrahim Felo Pelawat Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Nasional Singapura (NUS)

Pembentang : Muhammad Hasnan Bin Daud[1]

Tempat : Universiti Of Mu’tah (Jordan)

Tarikh : 21/3/2014

Pendahuluan

Setiap zaman dan setiap masyarakat itu melahirkan cendekiawan dan inteligensianya, sebagai penggerak, pengolah, pentakrif, dan penyebar maklumat dan penyemai budi dalam budaya masyarakat itu. Setiap masyarakat, baik dulu atau kini, samada skala kecil mahupun besar, maju membangun atau maju membina, memiliki sekelompok manusia berfikir dan terdidik yang digelar cendekiawan atau inteligensia.

Ta’krif

 Sekalipun saya tidak gemar membawa pembaca sekalian dalam perbincangan semantik[2] semata-mata, namun penulis kira perlu membawa juga penakrifan kepada beberapa istilah utama dalam tajuk diskusi kita ini agar kita tidak lari jauh dari landasan asal perbincangan kita iaitu ‘kaum inteligensia berfungsi dan pemberdayaan sosial.’

Cendekiawan, menurut Syed Hussein Alatas : ‘seseorang yang arif pemikirannya tentang idea dan masalah bukan lahiriah dengan menggunakan akal fikirannya.’[3]

 Inteligensia pula dapat diertikan sebagai ‘mereka yang telah memalui pendidikan formal dan moden yang tertinggi, pakar dan professional dan mereka telah mendapat pendidikan tinggi dengan lain-lain cara.’ (Dr Azhar Ibrahim Felo Universiti Nasional Singapura, Persidangan Tahunan Mahasiswa Malaysia Se-Jordan kali ke-8, Amman Jordan).

Katanya beliau : ‘Tak semestinya cendekiawan itu dari lingkungan dan suasana ilmiah, namun dia juga mestilah memiliki ketokohan cendekia yang disegani oleh masyarakat dalam membicara dan mengupas keperihalan dan permasalahan masyarakat, negara, dan keadaan dunia semasa.’ (Dr Azhar Ibrahim Felo Universiti Nasional Singapura-Persidangan Tahunan Mahasiswa Malaysia Se-Jordan kali ke-8, Amman Jordan).

Obor pencerahan

Dalam semua masyarakat, khasnya dalam masyarakat membangun, kepimpinan cendekia amat diperlukan bukan saja obor pencerahan, tetapi juga sebagai suara untuk menuntut keadilan apabila para penguasa berlaku zalim, selain mempertegaskan pertanggungjawaban sesama manusia dan ahli masyarakat, atas dasar etika kemanusiaan.

Suka saya petik dalam buku Intelektual Masyarakat Membangun (keluaran Dewan Bahasa dan Pustaka) yang ditulis oleh Syed Hussein Alatas , memberi erti pemaknaan kepada ciri utama cendekiawan yang menjalankan tanggungjawab mereka kepada masyarakat dan kemanusiaan sejagat :

(1)  Kemampuan untuk mengenalpasti permasalahan, cabaran dan isu yang dihadapi dalam masyarakat, dan kemampuan ini tentunya terbit daripada keprihatinan terhadap lingkungan asal-nya, khasnya terhadap mereka yang terpinggir dan teraniaya.

(2)  Keupayaan mengenal-pasti (mentakrif) masalah-masalah tersebut yakni dapat membezakan apa jenis sesuatu masalah itu, sehingga dihurai dan dikupas sebaik-mungkin.

(3)  Kemampuan menganalisis masalah-masalah tadi dengan jelas dan teratur sehingga setiap dimensi masalah dapat digarap, sekaligus dapat mengkritik idea atau amalan yang tidak lunas dan beres.

(4)  Dapat mengusulkan jalan keluar setelah masalah-masalah itu diolah dengan cermat dan bersungguh-sungguh demi melihat natijah perubahan yang lebih baik.

Cendekiawan (Inteligensia) Berfungsi

Saya juga mahu melengkapkan sisi-pandang Alatas di atas  dengan menambah bahawa cendekiawan yang berfungsi ini harus memiliki sifat : ‘senang didekati atau di dampingi dengan rakyat terbanyak, memiliki rasa perpaduan yang tinggi dengan mereka, dimantapkan dengan rasa empati[4] terhadap mereka tertindas/teraniaya, serta mempunyai keberanian cendekiawan yang tinggi  serta harapan teguh, bagi menyelesaikan kekusutan masalah yang dihadapi.

Karl Mannheim mentakrifkan inteligensia sebagai kelompok-kelompok sosial yang mempunyai tigas khas dalam pengertian mengajukan tentang alam sekeliling ini kepada masyarakat. Beliau juga berpendapat, kelompok ini (inteligensia) sebagai : ’an indispensable antidote to the bureaucratization of society;it guarantees “Scope for free experimentation with the essential objectives of life.”[5] 

Selain itu, beliau juga cenderung melihat kaum inteligensia ini sebagai kelompok atau kaum sosial yang tidak mudah terlibat dalam pertarungan kelas yang cenderung bersaing demi kepentingan masing-masing, namun tidaklah pula sampai terasing daripada masyarakat.

Menyediakan dan menyalur ilmu adalah tugas mereka, dan bukan pula menelurkan lebih banyak ideologi dan mitos yang kelak akan mengaburkan masyarakat yang ingin faham akan keadaan sebenar dan semasa. Tambahan lagi, kaum inteligensia seharusnya memastikan untuk terus kritis atas diri atau kumpulan sendiri, sebagaimana mereka ke atas kelompok yang lain.

[Karl Mannheim, “The sociology of Intellectuals,” Theory, Culture & Society, Jld. 10, 1993, h. 77.]

Jubah, Ketayap, Pembaharuan dan Islamisai budaya

Cendekiawan atau Kaum Inteligensia zaman kini tidak lagi boleh berjubah kependitaan yang melangit, dan kepala berlilitkan ketayap putih, tetapi sebagai salah seorang warga yang membumi sifat dan sikapnya, dan sedar akan tanggungjawabnya terhadap masyarakat sekeliling.

Pertama, menghargai dan kuat berpegang pada akar tradisi masyarakatnya tatkala ia menganjurkan pembaharuan, lantas mengira soal  latar budaya, aspirasi dan keperluan masyarakat terbanyak dan memahami pula pengalaman sejarah yang lepas dan mengaitkan dengan situasi hari ini (semasa).

Kedua, saya mengulangi kesekian-kali perlunya ada rasa empati kepada masalah dan cabaran yang dihadapi masyarakat dan likungan-likungan nya. Dalam situasi yang mungkin bisa memerangkap ini, kaum inteligensia itu perlu jelas di sebalah pihak manakah dia perlu berpihak, khasnya dia bersama dengan golongan tertindas, lemah, dan terpinggir yang berhadapan dengan pihak berkuasa dan berpengaruh.

Ketiga, kebolehan mengadun dengan baik pendekatan (uslub dakwah/kaedah/pedagogi/andragogi) yang bersesuain dengan era baru dan setempat. Ini merangkumi analisis kritis mengenai keadaan semasa. Analisis itu perlu disertai dengan jalan keluar (cadangan).

Keempat, memanfaatkan komunikasi langsung dengan komuniti (masyarakat) dan bukannya berkubu di menara gading semata atau kelompok tertentu semata-mata. Mereka perlu turun dan memperjelaskan isu-isu dan permasalahan berlaku yang melibatkan periuk nasi mereka.

Kelima, tekad melakukan perubahan dalam masyarakat dengan menggandingkan visi dan harapan yang utuh tanpa terikat dengan perasaan pasrah dan putus asa di saat masalah yang cuba ditangani itu semakin berat dan hebat.

Inteligensia dan Pemberdayaan.

Inteligensia sebagai golongan perantara yang dimaksudkan ini boleh jadi seorang guru, wartawan, budayawan, agamawan, seniman, sasterawan, dan lain lain yang kesemuanya itu harus jelas akan peranan dan sumbangan yang dapat mereka berikan kepada masyarakat terbanyak.

Pemberdayaan bererti mengiktiraf dan memberikan suara, kuasa, semangat dan keyakinan serta harga diri kepada individu dan kelompok tertentu dalam menanggapi dan menghadapi cabaran kehidupan ini.

Pemberdayaan bermula dengan satu kesedaran dalam lingkungan yang di diami dan yang dihadapinya itu secara konkrit dalam kehidupan seharian. Pemberdayaan menjadi kukuh apabila kesedaran tadi menjurus kepada pencerakinan sebab musabab bagi perkara/isu yang berbangkit, menghurai dan menyarankan jalan keluar.

Pemberdayaan merangkumi tindak balas dan tindakan yang digandingkan dan saling memperkukuhkan. Menjadi kritis itu tidak boleh disamakan dengan pemberdayaan. Kritis mungkin hanya di peringkat teori atau teks. Justeru, pemberdayaan itu harus ada kekuatan teori dan kesanggupan bertindak maupun campur tangan guna merubah dan memperbaiki sesuatu yang seharusnya tidak ada sebab untuk berlangsung dalam masyarakat dan negara.

Pemberdayaan Sosial

Makna pemberdayaan sosial pula meliputi setiap segala soal dan cabaran yang dihadapi oleh masyarakat, mencakupi hal-hal berkenaan politik, ekonomi, kebudayaan, keagamaan, pendidikan, perhubungan gender dan etnisiti dan sebagainya.

Pemberdayaan bererti :

“menyediakan sumber daya, peluang, pengetahuan, dan keterampilan dalam rangka meningkatkan kemampuan warga miskin untuk menentukan masa depannya sendiri dan mengambil bahagian dalam kehidupan masyarakatnya. Strategi pemberdayaan yang lengkap menuntut agar hambatan-hambatan yang dihadapi masyarakat dalam menggunakan kekuatannya difahami, diperhatikan, dan dipecahkan. Kekangan-kekangan ini berupa struktur yang menindas (kelas, ras/ etnis), bahasa, pendidikan, mobiliti peribadi, dan dominasi para elit dalam struktur kekuasaan masyarakat”.[6]

Pemberdayaan sosial ini tidak bermaksud pemerintah tidak mahu atau tidak perlu campur tangan dalam menguruskan soal-soal kebajikan rakyat. Ia bukanlah gantian kepada tanggungjawab pemerintah terhadap rakyat.

Pemberdayaan sosial adalah penting di saat ruang lingkupnya dicengkam oleh ideologi berkepentingan yang memalsukan kesedaran kritis di kalangan rakyat, yang memutarbelitkan kenyataan sosial, yang mengaburi kesedaran nurani, di samping mencengkam keberanian moral dan jasmani, yang mengerdilkan darjat dan harga diri manusia dan menginjak-injak hak individu dan masyarakat, yang menghalalkan peminggiran dan pengabaian terhadap kelompok yang lemah, yang mempermainkan hukum perundangan dengan mentoleransi kuasa yang sembarangan, yang mencipta mitos-mitos guna memberi keistimewaan kelompok tertentu, dan yang merestui pencerobohan hak asasi kemanusiaan, khasnya terhadap yang lemah dan tertindas.

Pemberdayaan kelompok inilah yang dirasakan penting sekali kerana seringkali mereka sendiri tidak sedar akan situasi ketakberuntungan sosial yang mereka hadapi. Untuk bebas dari keadaan dan kebelengguan ini, mereka harus mula disedarkan, kemudian disarankan  jalan keluar.

Antara jalan keluar terpenting ialah mendedahkan mereka kepada wacana dan pemikiran kritis melalui bahasa bergaya dan bernada emansipatif dan pembebasan manusia daripada belenggu faham autoritarian dan nyakemanusiaan (dehumanisasi). Sikap peduli individu melawan diktator antara rawatan kepada ketidak-adilan sosial. [tabiat-tabiat kediktatoran, Tulisan Abdul Rahman Al-Kawakibi]

Kaedah Menggerak Pemberdayaan Sosial

Pemberdayaan sosial itu dapat digerakkan oleh dua unsur yang saling menguatkan antara satu sama lain, iaitu unsur dari dalam  (endogenous) dan dari luar (exogenous). Ciri-ciri berikut adalah sebahagian daripada apa yang dimaksudkan sebagai pemberdayaan sosial. Ianya adalah:

(1) kekuatan moral untuk memperbetulkan dan memperbaiki apa yang tidak beres dalam masyarakat.

(2) keyakinan kerohanian yang bermakna sehingga memberi tekad harapan kepada pembaikan manusia dan lingkungan dan rasa kebersamaan umat manusia yang senasib.

(3) keteguhan bertindak dengan tekal, berterusan dan anjal untuk mengubahnya berdasarkan konteks dan keperluan tertentu.

(4) kemampuan daya fikir yang bersungguh untuk memecah masalah yang dihadapi tanpa mudah terikut dengan model/alternatif yang ditawarkan dan berdaya memikirkan keperluan dari konteks sendiri.

(5) kesedaran pemihakan dengan jelas tanpa ada rasa taasub dan sifat puritan bagaikan orang terlampau alim.

Siapa Bertanggungjawab Memulakan?

Soalnya sekarang siapakah yang bertanggungjawab memulakan dan menggerakkan pemberdayaan sosial? dalam hal ini, peranan inteligensia bahasa penting bagi menggerakkan bahasa dan budaya kearah pemberdayaan sosial yang diidamkan itu. Inteligensia itu sendiri mengambil berat akan persoalan bahasa yang sesungguhnya, dengan kesedaran dan perancangan yang betul, boleh menjadikannya wadah terpenting untuk menggiatkan pemberdayaan.

Namun, amat dikesalkan seandainya kumpulan yang meggalakkan pemberdayaan itu bersikap serba tahu dan serba betul bila berhadapan dengan khalayak sasarannya. Pemberdayaan tidak akan terbangun kalau terdapat mitos yang dicipta bahawa para inteligensia saja yang boleh berwacana, menulis, mengkaji dan petah melancarkan idea dalam masyarakat, sehinggakan yang lain terbantut untuk menyuarakan pendapat.

Perkara ini pernah diperhatikan Noam Chomsky, yang berpendapat bahawa :

‘anyone who is willing to extricate himself from the system of shared ideology and propaganda will readily see through the modes of distortion developed by substantial segments of the inteliigentsia’[7]

Tuntas

Pemberdayaan berlangsung apabila golongan inteligensia itu berani dan jelas dalam mempersoalkan keadaan dalam masyarakatnya serta menyuarakan pendapat dan sanggahan dengan penuh tanggungjawab.

Sesungguhnya pemberdayaan sosial itu adalah merupakan satu aspek komunikasi dalam proses pembangunan. Justeru, soal pemberdayaan harus mengambil kira usaha menyuntik bukan saja kesedarandan keyakinan diri di kalangan kelompok sasaran, tetapi juga memastikan bahawa wadah komunikasi budaya berkesan dan berkembang.

Pentingnya pendekatan dari bawah iaitu daya yang bermula dari bawah dan menjalar naik mempengaruhi golongan atas serta memperkuatkan kehadirannya di kalangan rakyat adalah sebahagian daripada pemasyarakat etos demokrasi.

Justeru ini mengingatkan kita apa yang pernah Alatas tegaskan bahawa :

a society without a functioning group of intellectuals is deprived of a certain level of consciousness and insights into vital problems’.[8]

 Inilah cabaran kita dalam membentuk kelompok cendekiawan dan inteligensia berfungsi untuk mara ke hadapan dalam memimpin agenda pembangunan komuniti, masyarakat dan Negara, selain mencetus kesedaran untuk pencerahan dan pemberdayaan.

Mu’tah , Jordan
20.3.2014 / Khamis

[1] Kini beliau meneruskan pengajian di dalam bidang Shariah (Fiqh Wa Usuluh),  Pelajar Tahun 1,  Universiti Of Mu’tah, Jordan. Merupakan salah seorang kru-Universiti Terbuka Anak Muda (UTAM).

[2] Semantik merupakan kajian makna ‘istilah’. Perkataan ini berasal daripada perkataan Greek iaitu ‘semantikos’ yang membawa maksud ‘erti yang penting’.

[3] Syed Hussein Alatas, Intellectuals in Developing Societies (London: Frank Cass, 1977).

[4] Empati berasal dari Bahasa Yunani bererti ‘Tarikan Fizikal’ ditakrifkan sebagai respons afektif dan kognitif yang kompleks pada emosional orang lain. Empati dengan mudah membawa maksud keupayaan mengesan emosi orang lain, lantas mahu mencuba menyelesaikan masalah dan mengambil perspektif orang lain.

[5] Jean Floud, ‘Karl Mannheim’ dlm. A.V. Judges (ed.), The Function of Teaching: Seven Approaches to Purpose, Traditon and Environment (London: Faber and Faber), h. 58.

[6] ZUbaedi, Wacana Pembangunan Alternatif; Ragam Perspektif Pembangunan dan Pemerkasaan Masyarakat (Jogjakarta: Ar-Ruzz Media, 2007), H. 62.

[7] Noam Chomsky, Language and Responsibality: Based on Vonversations with Mitsou Ronat (New York: Patheon Books), h.4-5.

[8] Alatas, Intellectual in Developing Societies, h. 10.

Advertisements

2 thoughts on “Kaum Inteligensia dan Pemberdayaan Sosial

  1. Penulisan baik,, adalah lebih baik sekiranya quotation dalam bahasa Inggeris diberi sedikit huraian atau makna bagi membantu audience memahaminya dengan lebih mendalam, Drp Pak chik mahamud

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s