Aku Melayu Muslim atas teguran Za’ba.

Nama sebenar Zainal Abidin Ahmad

 Aku Melayu Muslim atas teguran Za’ba.

Saya mula tertarik untuk membaca karya-karya al-marhum Zainal Abidin Ahmad[1] (Za’ba, semoga Allah mencucuri rahmat ke atasnya). Ianya bermula dengan perbincangangan santai bersama teman diskusi saudara Ahmad Fuad bekas pelajar Darul Quran Jakim. Bertitik tolak dari saat itulah saya mula mencari dan membaca tulisan-tulisan za’ba separa-tekun kerana faktor sumber terhad dan kewangan (untuk membeli siri-siri yang lain).

Pembacaan saya tidaklah banyak mana, cukuplah saya membaca satu tulisannya daripada beberapa penulisan yang lain, hasilnya telah mengubah kehidupan saya terutama cara berfikir, berkawan, bertutur-kata, berbincang, memikir masa depan dan paling utama, ialah saya perlu menjadi Melayu Muslim yang berdiri dengan diri sendiri (perangai bergantung pada diri sendiri).

 Tokoh sepertinya jarang kita ketemui di era moden / pasca moden ini, kalau adapun tokoh sepertinya tersembunyi atau jumlahnya sedikit sangat, kebarangkalian juga hanyut ditelan sistem kapitalis tidak manusiawi ini (bekejar-kejar pada kekayaan dan jawatan) ataupun mungkin juga tenggelam oleh arus cengkaman jahat politik takut-takut (political fear). Paling utama, tokoh sepertinya setiap zaman ada tetapi dalam kuantiti yang sedikit. Semoga pembaca salah seorang bakal menjadi sepertinya terutama cita-citanya yang tinggi dalam membangun bangsa Melayu yang bergantung pada diri sendiri.

Jarak usia Za’ba dengan kita mencecah hampir 85 tahun atau kurang lebih. Tulisannya mula di jadikan bahan bacaan dan modal perkongsian di dalam usrah-usrah anak muda atau diskusi-diskusi jalanan serta pengisian di dalam keluarga-keluarga. Kalau kita selak sejarah , seawal penulisan Za’ba dulu kala , kita dapati tiada orang yang berminat untuk mencetaknya dan memasar. Kenapa? Ini kerana menganggap karya-karyanya tidak laku bila dipasarkan, ada unsur mengkritik Melayu, tidak mampu membawa keuntungan dan lain-lain alasan lagi.

Akhirnya, kebodohan masyarakat waktu itu telah dimamah zaman dan putaran masa, kini kita generasi muda dengan mudahnya memperolehi kembali khazanah-khazanah penulisanya yang membina. Terima kasih kita ucapkan kepada para penerbit yang sudi menerbitkan tulisan-tulisan Za’ba kembali walaupun di tohmah dan di ancaman dengan alasan tidak membawa keuntungan pasaran dan bakal merugikan ummat Melayu (kerana mengkritik Melayu).

Pendeta Za’ba (kiri) menerima cenderamata daripada Perdana Menteri YAB Tun Razak.

Za’ba dan Falsafah Melayu

Persoalan falsafah hidup Melayu yang sering dibincangkan oleh ahli akademik, ahli politik dan oleh orang Melayu sendiri bukan sahaja sejak negara ini merdeka, sebenarnya , telah dibincangkan dengan panjang lebar pada zaman sebelum merdeka lagi. Ahli fikir Melayu seperti Syed Sheikh al-hadi, Sheikh Tahir Jalaludin, Za’ba, dan sebagainya telah banyak melahirkan idea dan fikiran, kritikan, dan nasihat memajukan masyarakat Melayu.

Za’ba, sebagai pemikir dan pendakwah kepada bangsanya, telah tidak bosan-bosan dan dengan penuh sabar meluahkan ilmu dan pengalaman yang di milikinya sama ada yang digarap melalui perpustakaan, pemerhatian, dan pergaulan tentang punca masalah yang dihadapi oleh orang Melayu dan cara menyelesaikannya.

Za’ba lebih cenderung melihat kelemahan orang Melayu dari faktor dalaman. Orang Melayu sendiri yang menjadi punca masalah kemunduran orang Melayu. Maka itu, dalam dakwahnya, beliau menyarankan dengan serius tentang pentingnya perubahan teologi (Agama). Za’ba amat percaya, bahawa teologi memainkan peranan yang ampuh dalam membentuk peribadi dan psikologi orang Melayu. Oleh yang demikian, kita melihat Za’ba yang menggunakan ayat-ayat Al-Quran dan Al-Hadis, sejarah dan juga pepatah arab bagi mengobarkan perubahan”.

Aku & Za’ba

Perangai bergantung pada diri sendiri  yang telah mengubah kehidupan saya sebagai Muslim Melayu terutama dari aspek cara berfikir dan bergaul dengan alam dunia menuju tuhan.
Perangai bergantung pada diri sendiri yang telah mengubah kehidupan saya sebagai Muslim Melayu terutama dari aspek cara berfikir dan bergaul dengan alam dunia menuju tuhan.

Menarik untuk saya berkongsi sedikit sebanyak bahan bacaan (terbatas) yang di tulis oleh Za’ba. Kalau kita lihat dalam hidupnya za’ba banyak menghasilkan apa yang boleh kita namakan “mutiara fikiran”, dan mutiara fikirannya itu tergolong sebagai mutiara fikiran bahasa, Agama, Akhlak dan Ekonomi.

Saya banyak terkesan daripada idea Za’ba melalui 2 buah buku , iaitu Mencapai ketinggian dunia akhirat dan Perangai bergantung pada diri sendiri. Kali ini saya ingin berkongsi soal buku Perangai bergantung pada diri sendiri[1].

Buku ini hasil dari pemerhatian Za’ba terhadap salah satu sikap dan perangai orang Melayu yang paling dibencinya iaitu perangai yang suka bergantung pada orang lain. Punca sikap itu wujud dalam diri orang Melayu apabila sudah tertanam dalam dirinya sifat-sifat negatif seperti tidak mahu berfikir sendiri dan tidak mahu mencari dan menggunakan ilmu pengetahuan yang mereka dapat. Mereka lebih suka hidup tanpa berfikir panjang walaupun sikap ini membawa kepada akibat yang merugikan diri sendiri dan nasib bangsa.

Gambar menyeluruh apa yang terkandung didalam tulisan bukunya, perangai bergantung pada diri sendiri.
Gambaran menyeluruh apa yang terkandung didalam tulisan bukunya, perangai bergantung pada diri sendiri.

Rajah di atas, merupakan gambaran umum tentang buku yang bakal kita telaah sama-sama iaitu ‘Perangai bergantung pada diri sendiri’. Kalau kita lihat kepada buku tersebut, masalah tunjang orang Melayu ialah keburukan perangai yang bergantung pada orang lain, bercabang seperti pokok, maka Za’ba memberi tumpuan khusus kepada tiap-tiap cabang besar atau dahan itu. Cabang-cabang itu boleh kita simpulkan sebagai mewakili empat tumpuan utama dalam rangka penulisannya. Setiap dari cabang-cabang besar itu terpecah pada beberapa ranting pula. Namun untuk kali ini, saya tidak sentuh ranting-ranting setiap cabang dahan utama yang empat itu.

Keburukan Perangai Yang Bergantung Pada Orang Lain.

Manakala untuk penulisan kali ini, saya akan berkongsi untuk dahan pertama sahaja iaitu keburukan perangai yang bergantung pada orang lain.

Jikalau punca utama mundur orang Melayu itu disebabkan oleh bergantung pada orang lain, nah jawabnya di sini, saya menyimpulkan ianya berpunca dari 2 faktor utama (pendorong) iaitu tidak ada keyakinan pada diri sendiri dan sikap kedua pula digambarkan dalam simpulan bahasa “seperti kutu di atas kepala”.

  • Sikap hina diri atau tidak yakin.

Sikap seseorang itu sentiasa menganggap dirinya rendah, tidak ada kebolehan, tidak ada kemampuan. Dalam bahasa Melayu masa kini dan dalam konteks ilmu psikologi, orang yang mempunyai sikap yang seperti ini di katakan mempunyai sikap hina diri atau inferiority complex. Individu yang seperti ini selalu mengharapkan pertolongan orang lain dalam serba serbi keadaan dan dengan itu tidak mempunyai harga diri.

  • Sikap malas

Sikap yang kedua yang di gambarkan sebagai kutu di atas kepala tidak lain ialah daripada sikap ‘malas’, dan dengan itu mereka tidak mahu berusaha dengan menggunakan tenaga dan akal fikiran sendiri. Kebiasaanya yang ada pada individu seperti ini ialah , mereka akan mengharapkan rezeki dari orang lain.

Kutu-kutu di atas kepala itu sering kali dapat di lihat contohnya pada mereka yang mengharapkan sara hidup dari ahli keluarga (yang lebih berusaha), dan tentu sahaja dari harta pusaka yang di warisi itu tanpa menambah hasilnya, dan apabila harta pusaka itu habis, maka lupuslah kesenangan hidup mereka. Maka ‘kembalilah keadaan melarat bagi mereka’.

Di sebabkan sikap suka bergantung pada orang lain itu, maka orang Melayu menjadi malas, tidak mahu berusaha, tidak mahu berikhtiar dan tidak mahu berjuang untuk kemajuan diri sendiri. Sikap ini sungguh berbeza dengan suku kaum lain yang datang dari luar alam Melayu untuk bermastautin di tanah Melayu.

Mereka datang sehelai sepinggang tanpa membawa harta atau modal wang. Apa mereka bawa hanyalah keinginan untuk hidup dan menjadi maju dalam hidup mereka, satu situasi yang tidak mungkin diperolehi ditempat asal tanah mereka.

Mereka bekerja tanpa memikirkan pertolongan orang secara percuma dan sedikit demi sedikit mereka meningkat maju, menghimpun kekayaan yang bukan sahaja membawa keselesaan hidup bagi mereka tetapi juga dapat memberi jaminan masa hadapan yang gemilang kepada anak cucu mereka dari segi ekonomi dan pendidikan. Kaum tersebut pembaca boleh teka sendiri..?

Hasil ulasan Za’ba ini, kita tentu bertanya apakah yang telah berlaku dalam kehidupan orang Melayu yang apabila dewasanya, selalu mengharapkan pertolongan orang lain?

Bergantung pada orang lain untuk kesejahteraan akhirat

Diceritakan bahawa Za‘ba pernah menjadikan pangkal pelepah anak-anak pisang yang berkapur untuk menulis dengan menggunakan pensel yang diperbuat daripada ranting kayu. Hal ini mendorong bapanya membelikannya sebuah papan batu dengan enam batang kalam batu. Menurut Nurhalim dan Aiani, kemudahan itu membantu Za‘ba untuk menguasai pelajaran membaca dan menulis Jawi yang diajarkan oleh bapanya. Buku Za‘ba (1895 – 1973) berjudul Perjuangannya Belum Selesai memaparkan riwayat hidup dan jasa Tan Sri Dr. Haji Zainal Abidin bin Ahmad atau lebih terkenal dengan nama Za‘ba. Buku nipis 39 halaman ini disusun oleh Norhalim Haji Ibrahim dan Aiani Sudeen, dan diterbitkan oleh Lembaga Muzium Negeri Sembilan (LMNS) pada tahun 2008.

Pada aspek ini, Za’ba mengkritik kebiasaan orang Melayu yang agak lambat dalam menjalankan amalan ibadah bagi diri sendiri seperti menunaikan yang dikehendaki oleh Allah SWT. Sebaliknya mereka ‘memohon’ doa dari orang lain, bahkan apabila sudah meninggalkan dunia pun, mereka mengharapkan orang yang masih hidup selalu sedekahkan alfatihah, al-ikhlas, tahlil , makan 40 hari dan lain-lain upacara untuk mereka setelah menjadi arwah nanti.

Za’ba sangat tidak setuju dengan adat ‘fidyah’ yang di adakan bagi orang yang sudah meninggal dunia, kerana dalam menjalankan adat tersebut, kita seolah-olah ‘membayar hutang’ kepada Allah bagi pihak si mati yang tidak mengejarkan amal ibadah seperti yang dikehendaki oleh agama Islam ketika masih dia masih hidup. Dalam hal ini, Za’ba menegaskan bahawa sebagai orang Islam, setiap diri itu hendaklah juga menjalani hidup seperti yang dikehendaki agama, iaitu mengejarkan rukun Islam dan amal ibadah yang lain. Bersetuju atau tidak terpulang kepada pembaca.

Penutup

“kebiasaan meminta pertolongan orang lain,”…….

Za’ba cuba menggambarkan situasi di atas dengan membandingkan orang Melayu yang beragama Islam dengan orang barat yang beragama Kristian. Orang Melayu mengharapkan pertolongan orang lain untuk kehidupan dunia akhirat. Orang barat Kristian pula tidak mempunyai budaya yang mengharapkan pertolongan orang lain dalam kehidupan didunia mereka, tetapi mereka mengharapkan pertolongan Isa (Jesus Kristian) yang dalam kepercayaan mereka adalah anak tuhan, untuk menghapuskan dosa mereka.

Bahkan dalam kepercayaan mereka, Isa sebagai anak tuhan diturunkan kedunia untuk menghapuskan dosa manusia. Maka kita dapati sebagai Melayu Muslim tidak mempunyai apa apa keistimewaan apabila urusan amal ibadahnya pun sering bergantung pada orang lain melalui kepercayaan-kepercayaan karut marut dan cuba menyandarkan pada agama seperti tangkal, air tangan para wali dan lain-lain.

Za’ba menulis karangan ini kira-kira 85 tahun yang lalu. Pengetahuannya dalam ajaran Islam terutama sekali tentang akhlak dan pembaharuan (pembebasan dari taqlid buta dan malas berfikir serta bergantung harap pada manusia lain) sangat meluas dan mendalam. Beliau menurunkan pemikirannya ini berlandaskan firman Allah SWT dalam Al-Quran dan sumber sumber utama Shariah Islam. Semoga sedikit penulisan gambaran umum berkaitan karya utamanya bertajuk “perangai bergantung pada diri sendiri” ini bisa mengukuhkan lagi keberadaan kita di dunia menuju akhirat dan memperbaikki kedudukan kita di sisi Tuhan dan Alam dari sedikit demi sedikit menuju fitrah insan yang di sebut oleh Allah iaitu Muttaqin (orang-orang bertaqwa).

[1] Asmah Haji Omar (2009) Za’ba, Perangai Bergantung Pada Diri Sendiri. Edisi Khas. Kompleks Dawama Berhad. Hulu Klang Selangor.

[2] Zainal Abidin Ahmad (16 September 1895 – 23 Oktober 1973), juga dikenali sebagai Zaaba merupakan seorang sasterawan dan pemikir Melayu keturunan Minangkabau yang giat menulis sekitar tahun 1940-an.

http://ms.wikipedia.org/wiki/Zainal_Abidin_Ahmad

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s