MENYEMAK KEMBALI PERSOALAN ISLAM DAN KENEGARAAN (NEGARA) SIRI 1/3

MENYEMAK KEMBALI PERSOALAN ISLAM DAN KENEGARAAN (NEGARA) SIRI 1
MENYEMAK KEMBALI PERSOALAN ISLAM DAN KENEGARAAN (NEGARA) SIRI 1/3

Oleh : Muhammad Hasnan Bin Daud[1]

PENDAHULUAN

Tulisan ini pada asalnya, mahu dimuatkan di dalam ‘buku’ akan datang, namun atas beberapa alasan saya kira ada baiknya saya menulisnya di laman wordpress milik peribadi sahaja, ini kerana tajuk tersebut terlalu biasa. Saya kira, tajuk sebegini rupa terlalu ‘klise’ untuk di tulis kembali, ini kerana sudah ramai orang menulis tentangnya namun atas alasan mahu memperbaiki cara penulisan dan menghargai apa yang telah dibaca, saya cuba untuk menulis juga tajuk seputar isu politik, kemasyarakatan, kewarganegaraan, Islam dan demokrasi hasil daripada bahan bacaan saya yang terhad.

Mungkin ini jugaklah, boleh dikatakan sebagai pegangan saya (buat masa ini) dalam wacana Islam dan Politik. Walaupun penulisan kali ini tidak lah terlalu ilmiah dan terlalu akademik tetapi sebagai permulaan saya kira sudah memadai untuk saya ketengahkan kepada sahabat-sahabat sekalian. Saya akui bahawasanya, pergelutan politik dunia hari ini telah mengajar saya sebuah ilmu iaitu (disiplin dalam setiap ilmu) dan tidak mengatakan ‘saya tahu segalanya kerana saya merupakan pelajar agama’.

Kalau kita perhatikan, bagaimana penafsiran Islam yang maju saja akan dapat menghadapi cabaran rohaniah serta persoalan-persoalan kritikal yang berlaku dalam masyarakat yang utama pada zaman ini. Ini tidak menafikan penafsiran ulama-ulama silam , kerana persoalan berkaitan politik terutamanya, tidak boleh terlalu rigid dan kaku sehinggakan kembali wacana fiqh politik silam. Lalu saya mengambil kira kembali semangat ulama silam dan ulama terkini (kontemporer) dalam perbincangan Islam dan Politik, agar ianya kelihatan relevan dan sesuai sepanjang zaman.

MUQADDIMAH

Konsep pemerintahan dalam Islam sudah tentu berasaskan kepada ajaran al-Quran al-Karim. Perlu difahami dari awal lagi bahawa kitab suci ini tidak mengemukakan konsep sesebuah Negara, akan tetapi ia memberikan konsep bermasyarakat. Sayugia diingatkan, al-Quran lebih simbolik daripada deskriptif (memberikan gambaran lengkap baik dalam bentuk angka dan lain-lain) dan disinilah terletaknya kekuatan dan kebenaran abadinya, yang diperolehi daripada penafsiran dan penafsiran semula simbol-simbol, sesuai dengan perubahan keadaan tempat dan masa.

Simbol ini banyak dalam konsep muamalat ataupun hubungan manusia sesama manusia seperti politik dan apa sahaja dalam ruang lingkup ijtihadiyyah dalam perkara mutaghayyirat (berubah-ubah). Terdapat berbagai-bagai pandangan dan konsep tentang negara dan pemerintahan dalam Islam.[2] Hal ini kerana, persoalan pemerintahan dalam kerangka mutaghayyirat (berubah-ubah) didasari ijtihadiyyah semasa.

Ali Abdar Razik menegaskan dalam bukunya yang penuh polemik Al-Islam wa usul al-hukm (Islam dan Dasar Pemerintahan) bahawa Islam tidak pernah mendakwa sebagai pemerintahan duniawi dan dalam hal ini, perkara tersebut bebas difikirkan oleh mereka yang beriman. Seterusnya ia menekankan bahawa al-Quran tidak menyebut tentang pemerintahan cara khalifah, dan oleh kerana itu, cara ini tidak boleh dianggap sebahagian daripada kepercayaan Islam. Idea mengenai pemerintahan cara khalifah telah dicipta dalam kitab-kitab fiqh yang dikumpulkan berabad-abad selepas wafatnya Rasulullah saw.[3]

MERUJUK KEMBALI SIRAH SILAM.

Visual gambaran suasana politik di Mekah satu ketika dahulu sebelum tertegak dawlah Islam madinah
Visual gambaran suasana politik dan hubungan antarabangsa tanpa hierarki tersusun di Mekah satu ketika dahulu sebelum tertegak dawlah Islam madinah.
  1. Mekah

Menyemak kembali pengalaman umat terdahulu amatlah penting untuk semak imbang kembali pengalaman corak pentadbiran di zaman silam agar dapat di perbaikki dari satu masa ke satu masa atas semangat dan prinsip amar ma’ruf nahi munkar. Cuba kita perhatikan kepada keadaan politik yang wujud di Mekah sebelum kedatangan Islam dan bagaimana masyarakat telah berubah sejak daripada itu.

Mekah telah didiami oleh majoriti Bani Quraish dan di sana juga terdiri daripada pelbagai suku serta kabilah lain, selain daripada Quraish. Sangat menarik kalau kita perhatikan dan melakukan kajian sosio-budaya Mekah yang menjadikannya pusat perdagangan antarabangsa, namun tidak mempunyai hierarki pemerintahan tersendiri. Tidak ada institusi beraja dan tidak wujud alat-alat (jabatan-jabatan secara sistematik serta kemudahan) yang boleh dibandingkan.

Apa yang wujud adalah ‘majlis kabilah’ yang di panggil sebagai ‘mala’ (pembesar). Mala’ mengandungi wakil daripada tiap-tiap suku. Seperkara lagi yang perlu di ambil kira ialah mala’ bertindak sebagai badan perunding dan bukannya badan eksekutif. Tiap-tiap suku pada teorinya adalah bebas. Oleh itu, mereka tidak terikat dengan sebarang keputusan majlis.[4]

Mala’ tidak berkuasa untuk memungut cukai atau menyediakan pasukan polis atau tentera untuk menjaga ‘undang-undang dan keamanan’. Di sini kita dapat fahami bahawa tidak ada satu teori politik yang tersusun seperti adanya perlembagaan (social-contract). Paling tinggi kita hanya boleh bercakap tentang demokrasi kabilah sebelum kedatangan Islam di Mekah.

Satu perubahan drastik politik secara aman sehinggalah terbukti sistem pentadbiran paling sempurna di zaman Baginda SAW. Namun ia bukan satu legitimasi untuk dijadikan 'sunnah' dalam berpolitik di era sistem demokrasi ini.
Satu perubahan drastik politik secara aman sehinggalah terbukti sistem pentadbiran paling sempurna di zaman Baginda SAW. Namun ia bukan satu legitimasi untuk dijadikan ‘sunnah’ dalam berpolitik di era sistem demokrasi ini.
  1. MADINAH

Mari kita soroti seimbas lalu politik di Madinah pula. Baginda SAW memikirkan tentang pembentukan alat-alat pentadbiran hal ehwal kota itu hanya apabila Rasulullah mendiami Madinah dan pentadbiran baginda boleh diterima ramai orang. Apa yang menarik kita dapati adalah struktur masyarakat di Madinah bukanlah seragam dari segi kaum mahupun agama.

Kota itu didiami oleh masyarakat kaum Yahudi yang berbilang, kaum Arab Jahiliah, yang terdiri khususnya daripada 2 kabilah besar iaitu Aus dan Khazraj dan satu lagi golongan ialah orang Islam yang telah berhijrah dari Kota Mekah, yang tediri daripada pelbagai suku.

Ketidakseragaman penduduk di Madinah seolah-olah mirip dengan keadaan yang biasanya terdapat di dalam sebuah negara moden yang ‘sekular’. Negeri yang mempunyai pelbagai kaum, kabilah dan agama ini dapat disatukan di bawah pimpinan Rasulullah SAW dan digelar satu “Ummah”. Walaupun selalu didakwa gelaran ummah itu merujuk kepada komuniti orang-orang Islam, namun dakwaan ini ‘susah’ untuk di sokong.

Barakat Ahmad berkata : “manakala para orientalis berbeza pendapat tentang perkembangan istilah ‘ummat’ dalam al-Quran, sesetengah ulama Islam mentafsirkannya sebagai komuniti orang Islam , akan tetapi ini tidak sepenuhnya benar. Ia hanya menerangkan kedudukan ‘de-facto’.[5] Secara teorinya, sepanjang tempoh Rasulullah SAW menyebarkan risalah baginda, istilah ‘ummah’ ini tidak terbatas hanya kepada Muslimin”.[6]

Syeikh Yusuf al-Qaradawi ada membahas secara terperinci berkaitan Negara Agama dan salah tanggapan terhadap wacana kenegaraan.
Syeikh Yusuf al-Qaradawi ada membahas secara terperinci berkaitan Negara Agama dan salah tanggapan terhadap wacana kenegaraan.

BUKAN NEGARA AGAMA

Sangat menarik untuk sama-sama kita tekuni bahawa Rasulullah SAW telah mencipta satu komuniti politik di Madinah (ummat) dengan mengikat perjanjian yang melibatkan berbagai-bagai golongan dan kabilah. Perjanjian yang dibuat oleh Baginda SAW ini dikenali sebagai perjanjian Madinah atau Sahifah dan orang-orang yang terikat dengannya digelar sebagai “orang Sahifah”.[7]

Bagi orang Arab yang tidak pernah hidup sebagai komuniti pelbagai kaum yang mempunyai persetujuan bersama, perjanjian itu barangkali sudah tentu bersifat revolusioner. Namun itu merupakan percubaan yang pertama untuk memberi asas kepada hidup yang lebih ‘berprinsip’. Nicholson membuat ulasan berkaitan perkara tersebut (perjanjian madinah) :

Tidak sesiapapun boleh mengkajinya tanpa merasa kagum terhadap kepintaran politik pengarangnya (Nabi Muhammad SAW). Walaupun pada lahir ia merupakan perubahan yang berhati-hati , namun pada kenyataannya ia sebenarnya satu revolusi-sosial. Muhammad (Nabi Muhammad SAW) tidak menyerang secara terbuka kebebasan kabilah-kabilah, akan tetapi hakikatnya beliau berjaya memusnahkannya dengan memindahkan pusat kuasa daripada kabilah kepada komuniti….[8]

Dokumen ini meletakkan batu asas bagi sesebuah komuniti politik di Madinah, di mana kabilah serta golongan berlainan, yang berbentuk agama dan sekuler, di ambil kira dan mempunyai kebebasan untuk menganuti kepercayaan sendiri.

Orang Yahudi akan sama-sama berkongsi perbelanjaan dengan Muslimin, selagi mereka berperang. Orang yahudi Bani ‘Auf bersama-sama kaum Muslimin merupakan satu ummah. Bagi orang Yahudi agama mereka dan bagi Muslimin agama mereka…[9]

Dokumen ini juga, apa yang menarik perhatian kita semua adalah Baginda SAW telah membuat satu kontrak, meletakkan syarat-syarat yang dipersetujui bersama, dan tidak membentuk sebuah negara teologi (negara agama). Semua golongan agama dan kabilah dibenarkan mempertahankan kebebasan mereka untuk menghayati adat serta kebiasaan mereka.

Apabila di dapati berlaku sesuatu permasalahan yang berkaitan dengan kesepakatan (perjanjian Madinah) maka akan diselesaikan melalui apa yang telah disepakati. Jadi kontrak ini berdasarkan ‘musyawwarah’ bukan paksaan dan sekurang-kurangnya dalam hal ini ia telah mendahului perkembangan politik moden hari ini.

Mereka yang mahukan negara teologi (negara agama) sering berhujah bahawa dokumen ini dimetrai semasa Muslimin masih minoriti dan belum semua hukum Allah diwahyukan, dan ada pula yang dimansuhkan dengan perkembangan selanjutnya. Akan tetapi, hujah ini tidak berasas kerana jika dikaji surah-surah al-Quran yang diwahyukan kemudian :

  • Sunnah Rasulullah SAW tidak dimansuhkan dalam hal lain, lebih-lebih lagi dalam hal ini, yang sangat penting (kenegaraan) bagi dasar Islam.
  • Ayat-ayat al-Quran yang diturunkan kemudian tidak memansuhkan syarat-syarat yang termaktub didalam Sahifah.

Sebaliknya, kaum Yahudi pula yang dicela dalam wahyu-wahyu terkemudian, kerana ‘melanggar syarat-syarat di dalam kontrak tersebut’. Jelas sekali bahawa Nabi Muhammad SAW langsung tidak menegakkan pemerintahan kenegaraan berasaskan ‘negara agama’ sebagaimana sesetengah pihak mengimpikan setiap hari. Sahifah itu sendiri tidak berlawanan dengan semangat ‘keislaman’ dan tidak pernah sesekali bertentangan dengan tradisi Islam. Semangatnya masih sah sehingga hari ini.

Social-contract tidak bercanggah dengan tuntutan Islam.
Social-contract tidak bercanggah dengan tuntutan Islam.

UNDANG-UNDANG & KEBEBASAN

Batu asas yang diletakkan oleh perjanjian ini (sahifah madinah) ialah menjamin otonomi bagi semua golongan yang menyetujuinya, kebebasan untuk menganuti dan mengamal agama, adat serta kebiasaan masing-masing dan hak bersama dalam segala perkara kepentingan bersama. Dokumen ini juga telah jelas menegaskan tentang corak pemerintahan yang ‘demokratik’, berasaskan musyawwarah dan persetjuan, bukannya tekanan dan paksaan.

Apa yang perlu kita ambil perhatian adalah dalam hal-hal pemerintahan politik, Rasulullah SAW menjauhkan diri daripada mengenakan ‘penguatkuasaan keagamaan’. Melalui perjanjian Madinah ini , kita lihat , lebih dekat dengan kontrak sosial Rousseau.

Bagi Rousseau, kebebasan bukannya bererti ‘kebebasan liberal’ atau individu daripada masyarakat, akan tetapi kebebasan dengan membebaskan masyarakat. Kebebasan ini tidak mungkin tercapai dengan mengenepikan hak orang lain, akan tetapi sebaliknya dengan implikasi positif kebebasan bagi semua manusia.[10]

Sebagaimana saya sebut lebih awal, al-Quran mengemukakan konsep masyarakat, bukannya ‘model-jenama’ pemerintahan negara. Al-Quran penuh dengan kesedaran tentang sejarah. Inilah juga apa yang terselit dalam semangat Sahifah dan ruang kebebasan yang menjadikan asas kepada sebuah negara.

Sekalipun al-Quran tidak menyebut secara jelas tentang kepentingan perlembagaan ataupun social-contract, namun semangat social-contract itu sangat dituntut dalam ajaran Islam apatah lagi agama-agama lain yang mengimpikan sebuah pemerintahan bersama di bawah seliaan undang-undang legitimasi.

 bersambung (ii & iii)

 

[1] Sedang menuntut ilmu di bumi Madinah (Universiti Islam Madinah) dalam bidang pengajian Islam , tahun 1.

[2] Lihat QamaruddinKhan, Al-Mawardi’s Theory of State. Lahore, t.t, Ms. 4.

[3] Ali Abdar razik, Al-Islam wa usul al-hukm, IKD. Lihat juga kritikan balas (ilmiah) oleh Dr Muhammad Imarah. Sekalipun jawapannya tidak memuaskan tetapi sudah menarik minat awal untuk mendedahkan polemik persoalan pemerintahan mengikut pemikiran Ali Abdar Razik.

[4] Asghar Ali Engineer, The Origin and Development of Islam, Bombay, 1980 ms. 45-46.

[5] satu ungkapan Latin yang bermaksud “pada hakikatnya” atau “dalam amalan” tetapi tidak diutarakan secara terus-terang dalam undang-undang

[6] Barakat Ahmad, Muhammad and the Jews – A re-Examination, Delhi, 1997, ms 39. Lihat Abdul A’ala Maududi, Islamic Way of Life, Delhi, 1967, ms 17.

[7] Barakat Ahmad, op.cit., ms.39.

[8] R.A Nicholson, A Literary Historyof the Arabs, Cambridge, 1907 ms. 173.

[9] Lihat ibn Hisham, sirah jilid 1, cairo, 1332 A.H. Sila lihat juga Alfred Guillaume, The Life of Muhammad : a translation of Ibn Ishaq’s Sirat Rasulullah, London, 1955.

[10] Lucio Colletti, From Rousseau to Lenin – Studies in Ideology and Society, Delhi 1978, ms 151-2.

Advertisements

4 thoughts on “MENYEMAK KEMBALI PERSOALAN ISLAM DAN KENEGARAAN (NEGARA) SIRI 1/3

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s