Berkatalah : قل ءامنت باالله ثم استقم

BAGAIMANA ISTIQOMAH YANG DICARI?

Berkatalah : قل ءامنت باالله ثم استقم

Senja-di-pantai-acheh

Akal & Tuhan.

Prof Hamka :

Diciptanya akal kita, tumbuhlah pula “kepercayaan” tentang adanya Zat Yang Maha Kuasa. Bertambah lanjut perjalanan akal itu, bertambah nampaklah adanya kebenaran, keelokkan, keindahan dan kesucian di dalam alam sekeliling kita. Semuanya itu tadi menguatkan kepercayaan adanya Zat Yang Maha Kuasa.

Tauhid merupakan asas kehidupan, tanpa tauhid kita bakal menempuh perjalanan intelektual dan spiritual yang sangat memenatkan. Hari-hari bakal menempuh persoalan berbentuk mantiq dan falsafah. Namun itu semua perjalanan intelektual dan spiritual seseorang. Namun yang pasti akan selamat dan damai apabila akalnya ‘sejahtera’.

Memang kadang-kadang ada juga timbul ragu-ragu pada kewujudan ‘ada-Nya’. Tetapi bilamana kepercayaan tadi cuba dilepaskan, terasalah bahawa keraguan itu tidak hilang juga. Malah ia bertambah ragu. Percubaan demi percubaan untuk memastikan bahawa tidak-ada-nya Tuhan itu mustahil. Ia akan terus berurat di dalam hati. Dengan keraguan.

Tetapi apabila kepercayaan itu sudah hadir maka ‘pegang’ dan ‘jagalah’ benar-benar kemudian pacakkannya dalam sanubari setiap dari kita.

ءامنت باالله ثم استقم

(Katakanlah , aku beriman kepada Allah kemudian istiqomah lah)[1]

Kata-kata inilah mengingatkan kita akan memegang teguh pada kepercayaan itu, merupakan yang paling utama. “Wujudnya Allah swt dan aku percaya akan adanya.”

 

TUHAN ADA DALAM HATI MANUSIA YANG BERAKAL.

Kita akan mengembara di dalam hidup ini. Kita akan menempuh lautan dan daratan. Kita akan menempuh bunga kuncup dan bunga kembang. Kita menempuh pasang naik dan pasang surut.

Akan menumpuh juga angin sepoi dan angin puting-beliung. Kita bertemu dengan yang benar dan salah, yang elok dan buruk, yang indah dan yang jelek.

Kita akan pernah merasai puas dan pernah juga kecewa. Kita juga pernah rasa ragu-ragu.

“akan ‘tetapi’ apabila terang benderang itu ada dalam jiwa kita , dan ada juga masanya bertemu gelap gelita..”,

Tetapi satu hal dalam hidup kita tidaklah pernah padam selama-lamanya meskipun dilindup dan disaputi awan, namun hilang sama sekali tidak. Yang satu itulah kepercayaan akan adanya Tuhan!.

Kepercayaan yang satu inilah yang disuruh dipelihara baik-baik, pegang teguh-teguh, sebab inilah “pangkal tempat bertolak dan pelabuhan tempat bersauh”, dan ini pulalah keputusan dari segala hukum. Teguh memelihara dan memegang kepercayaan pada kewujudannya itulah yang bernama istiqomah.

Berkata Buya Hamka :

“maka tegaklah dengan teguh , istiqomahlah, laksana batu karang dihujung pulau, menerima hempasan segala ombak dan gelombang yang menggulung, setiap ombak dan gelombang datang, setiap itu pula ia membawa zat yang akan menambah kukuh pada dirinya.”

Tegaklah dengan teguh, istiqomahlah, laksana sebatang pohon beringin, ditengah padang, menerima segala angin sepoi dan angin badai. Kadang-kadang berderak-derik, laksana akan terhoyong hayang ke kiri dan ke kanan. Demi menanti angin itu berhenti dan alam tenang, dia tegak pula kembali dan uratnya bertambah terhunjam ke patala bumi.

 

MANUSIA ITU INSAN.

Satu-satunya Pokok Ditengah-tengah Gurun Sahara

Manusia diberi akal, diberi masa dan diberi peluang. Sepanjang rehlah akal kita, yang melibatkan perjalanan yang penuh persoalan yang memenatkan, sedangkan masa untuk sehari tidak kurang lebih iaitu hanya 24 jam sahaja, pasti ada yang pernah, sedang ataupun sudah, tergelincir dari paksi asal. Apabila longitud dan latitud terkosek sedikit, akan menyebabkan arah ditujunya itu hilang dari rada.

Namun, andailah kita tersalah dan tersilap , sepanjang tempoh (masa) rehlah akal kita dalam mencari kebenaran ini, Tuhan tetap memberi peluang kepada kita untuk kembali pada ‘tauhid’ (kebenaran) , tinggal lagi selepas itu adalah kembali kepada istiqomah.

Tuhan sendiri mengakui dalam menerangi hidup ini, kita akan tersilap. Akan pernah salah apatah terlanjur. Tetapi hal itu bukan berat di sisi tuhan bahkan akan dimaafkan Tuhan.

Sebab itu Tuhan berfirman : (An-Nisa’ : 116)

4_116

“sesungguhnya Allah tidak akan dapat memberi ampunan jika Dia mempersekutukan dengan yang lain. Dan Tuhan akan memberi ampun kesalahan selain dari itu, bagi barangsiapa yang dikehendaki-Nya. Dan barangsiapa yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain, sesungguhnya dia telah sesat: sesat yang amat jauh.”

Jika terlanjur ke dalam suatu jurang kesalahan, dapatlah dimaklumi akan hal itu. Sebab manusia terjadi daripada darah dan daging. Kumpulan akal sihat dengan nafsu angkara. Tetapi, asal manusia tetap memelihara keesaan kepercayaan (Tauhid), tidaklah akan terulang dua kali berbuat salah yang serupa seandainya dia istiqomah selepas taubatnya itu benar-benar teguh memelihara daripada melakukannya kembali.

Faedah yang amat besar dalam sebuah kehidupan, apabila dalam jiwa mereka adanya ‘istiqomah’. Istiqomah itu akan menghilangkannya rasa takut dan hilangnya rasa dukacita.

 

PENGHIJAB KEPADA ISTIQOMAH.

Takut dan dukacita merupakan dua hal yang menjadi penghalang besar dalam kemajuan hidup. Itulah duri dan itulah batu penarung, Tuhan berfirman : (surah Fussilat : 30)

41_30

“Sesungguhnya orang-orang yang telah berkata Tuhanku adalah ALLAH, kemudian dia istiqomah dalam pendirian itu, akan turunlah pada mereka Malaikat, supaya mereka jangan rasa takut dan jangan merasa duka cita. Dan beri khabar gembiralah kepada mereka dengan syurga yang telah dijanjikan buat mereka.”

Apabila kita sudah bertaubat, kembali kepada Allah dengan melakukan taubat nasuha (taubat sebenar-benar taubat) kemudian istiqomah[2] dijalannya, tak mungkin lagi ada rasa takut pada yang lain, selain-Nya.

Kepada siapa perlu takut? Adakah yang Maha Kuasa di dalam alam ini ada selain Allah swt? Adakah ada yang berkuasa menjatuhkan bahaya, memberikan mudarat dan manfaatkan dalam tadbir alam ini , ada selain Allah? Adakah sesuatu yang berkuasa sendiri, bergerak, dan diam di luar lingkungan kuasa Allah swt?

Tidak ada! Kembali kepada Allah swt kemudian tetap teguh (istiqomah) dengan ajarannya. Lupakan yang silam. Tuhan maafkan. Kecuali syirik kepadanya dengan sesuatu.

 

MAUT LEBIH DITAKUTI?

kematian

Yang ditakuti orang di dalam hidup ini ialah ‘melarat’. Dia lupa, alam kehidupan sekarang ini hanyalah sementara. Kemelaratan bukanlah kehilangan harta benda. Kemelaratan ialah apabila hilangnya “Istiqomah” di dalam diri kita.

Yang paling ditakuti rata-rata orang di zaman edan ini, ialah maut (kematian). Padahal luput dan hilangnya istiqomah itu adalah lebih disakiti dan lebih berbahaya dari maut itu sendiri. Itulah tuhan berfirman dengan demi masa! Sesungguhya manusia sering berada dalam kerugian.

Satu waktu itu tersangatlah mulia dan manakan tingginya harga maut itu apabila ia menyesal tidak lagi mampu kembali kepada masa silam. Wal’asr. Demi Masa.

Apa yang menyebabkan hati ditimpa duka, gundah gulana, bermuram durja? Sebab merasa ada yang hilang. Yang dicari tidak dapat, yang tak dicari, itulah yang dapat. Yang diingini terlalu jauh, sedangkan yang tak diingi terlalu dekat. Orang telah berlalu pergi, ditunggu-tunggu juga, sedangkan yang belum datang ditungkasi dan yang kekal abadi itu tidak lagi diingat-ingati.

Sebab datangnya kedukaan dan hilang harapan , adalah kerana “salah pasang”. Meletakkan nilai kepada barang yang tidak bernilai, melupakan nilai dari yang sebenarnya bernilai.

Buya Hamka mengingatkan:

“Cubalah pasang balik dan susun kembali. Kembali ke dalam istiqomah, nescaya terbukalah kembali hijab. Nescaya hilanglah bayang-bayang dari sesuatu yang tidak ada hakikat itu.”

 

Nota Kaki :

[1] Hadis ini di nukilkan oleh Hamka dalam bukunya Pandangan Hidup Muslim, walaupun tidak dibawa riwayat dan darajat hadis, saya mengambil nya dari sudut erti intipati. Dan tidak menyandarkan kepada Baginda Saw sekiranya ia bukan sebahagian Hadis Nabawi as-Sharief.

[2] Istiqomah di sini kita maksudkan dengan menjaga sesungguh-sungguhnya setelah kita bersih dari dosa dan penuh rasa keinsafan lalu, dia berpegang teguh dengan janji janjinya di dalam solat serta taubatnya itu agar tidak kembali kepada kegelapan, lalu dia istiqomah. Jaga. Tegak. Kukuh. Pacak. Tidak goyah. Itulah istiqomah sebenar-benar sehinggalah amalan lain terus dan menerus dalam ketenangan dan memperjuangan kebenaran dibumi penuh fitnah ini.

Advertisements

4 thoughts on “Berkatalah : قل ءامنت باالله ثم استقم

  1. Hadis ءامنت باالله ثم استقم riwayat Imam Ahmad…blh buka kitab Jami’ul Ulum wal Hikam krangan Ibnu Raab al-hanbali

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s