UBP 2 : ALQURAN : SISTEM PENSYARIATAN & CIRI-CIRI KETAMADUNAN

 القرآن الكريم بنيته التشريعية و خصائصه الحضاري , وهبة بن مصطفى الزحيلي, Cetakan Pertama 1998M/1419H, Darl Fikr - Syria.
القرآن الكريم بنيته التشريعية و خصائصه الحضاري , وهبة بن مصطفى الزحيلي, Cetakan Pertama 1998M/1419H, Darl Fikr – Syria.

Ringkasan oleh : Muhammad Hasnan Bin Daud

ALQURAN : SISTEM PENSYARIATAN & CIRI-CIRI KETAMADUNAN

MUQADDIMAH

Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam. Selawat dan salam buat Nabi junjungan.

Syeikh  Dr. Wahbah al-Zuhaili merupakan seorang tokoh ulama abad ke-20 yang terkenal dari Syria. Namanya sebaris dengan tokoh-tokoh tafsir dan fuqaha yang telah berjasa dalam dunia keilmuan Islam abad ke-20 seperti  Thahir Ashur yang mengarang tafsir al-Tahrir wa al-Tanwir, Said Hawwa dalam al-Asas Fi al-Tafsir, Sayyid Qutb dalam Fi Zilal al-Quran. Sementara dari segi fuqaha, namanya sebaris dengan Muhammad Abu Zahrah, Mahmud Syaltut, Ali Muhammad al-Khafif, Abdul Ghani Abdul Khaliq dan Muhammad Salam Madkur.

Berita kewafatan al-Syeikh Dr Wahbah al-Zuhaili mendukacitakan umat Islam. Suatu kehilangan besar. Sumbangan ilmunya kepada umat di zaman kini amatlah bermakna. Beliau guru kita semua. Semoga Allah menerima segala sumbangan dan jasanya kepada agama dan umat ini. إنا لله وإنا إليه راجعون.

Sebagaimana diketahui, Syeikh Wahbah adalah seorang ulama produktif, telah mengarang lebih dari 200 kitab. Mulai dari buku yang terdiri dari 16 jilid, sampai artikel-artikel melebihi 500 buah.

Salah satu bukunya yang tersohor dalam kalangan masyarakat Malaysia adalah, al-Fiqh al-Islamiy wa Adillatuhu dan Tafsir al-Munir.  Al-Fiqh al-Islamiy wa Adillatuh, adalah kitab fiqh kontemporer yang sangat penting dalam pengkajian fiqh perbandingan. Buku ini untuk pertama kalinya dicetak oleh Dar al-Fikr di Damaskus pada tahun 1984, terdiri dari 9 jilid besar.

القرآن الكريم بنيته التشريعية , و خصائصه الحضارية

Antara kitab yang menarik perhatian saya untuk dikongsikan adalah :

القرآن الكريم بنيته التشريعية , و خصائصه الحضاري

(diterjemah sebagai, AlQuran : Sistem Pensyariatan & Ciri-Ciri Ketamadunan)

Kitab ini mengajak kita kembali melihat sistem hidup (pandangan sarwa / worldview) menurut pertimbangan Al-Quran secara menyeluruh. Sistem hidup yang dimaksudkan beliau di dalam buku ini, melibatkan semua pihak. Adapun pihak paling utama adalah diri sendiri (إصلاح نفسي). Ini bermakna, sebuah sistem masyarakat tidak akan berkekalan dalam keadaan baik sekiranya diri sendiri yang bermasalah.

Selain itu, sudut pandangan beliau terhadap aspek tamadun jugak menarik minat untuk kita katakan bahawa ajaran Islam ini tidak kaku bahkan sesuai dengan semua zaman. Antara keistimewaan ajaran Islam terhadap aspek tamadun Islam, ialah tidak tertutup dan kosong (tiada isi) dan tidak menuju asobiah pada etnik dan iklim tertentu. Beliau menyebutkan bahawa usul hadharah (tamadun) dan fokus terhadap persoalan tamadun paling tidak memerlukan 6 perkara :

1-Tauhid kepada Allah SWT sebagai worldview. Melibatkan aspek fizikal dan rohani. Ilmu dan amal. Iman dan akhlak. Alam dan manusia.

2-Universal. Wawasan tamadun Islam tidak hanya terhenti pada dunia ataupun akhirat bahkan kedua-duanya sekali.

3-Menggunakan akal dan kehendak. Tidak jumud dan sempit.

4-Membangun tenaga pakar, mahir, kompetensi, berpengalaman yang mendalam dalam setiap bidang

5-Berpegang teguh pada Islam (beragama dan bertuhan), menjaga ketinggian akal budi, akhlak.

6-Tidak mewujudkan ketegangan, kebencian, kezaliman, penindasan dan Islam tidak fokus kepada menghimpunkan harta tanpa memikirkan nasib kaum tertindas.

Sebagaimana telah di maklumkan, Islam datang sebagai risalah untuk mengislah dan membaikki secara menyeluruh, meneruskan kebaikkan dan kebajikan, mentashihkan akhlak yang rosak, membuang budaya taqlid yang menyesatkan. Sebagaimana firman Nya :

وَنُرِيدُ أَن نَّمُنَّ عَلَى ٱلَّذِينَ ٱسۡتُضۡعِفُواْ فِى ٱلۡأَرۡضِ وَنَجۡعَلَهُمۡ أَٮِٕمَّةً۬ وَنَجۡعَلَهُمُ ٱلۡوَٲرِثِينَ

Dan Kami hendak berihsan dengan memberikan pertolongan kepada kaum yang tertindas di negeri itu dan hendak menjadikan mereka pemimpin-pemimpin, serta hendak menjadikan mereka orang-orang yang mewarisi (apa yang dimiliki oleh Firaun dan kaumnya). [Al-Qasas : 5]

ALQURAN MENURUT KACA MATA DR WAHBAH

Setiap insan yang berakal, mengimpikan sebuah kehidupan yang mendamaikan, menenangkan,  bahkan mampu membaiki keadaan, dan juga membawa kepada manfaat yang menguntungkan. Kesemua impian ini, akan membawa manusia kepada satu peringkat yang tinggi lagi mulia serta mengecapi hakikat keamanan dan kestabilan apabila manusia menjadikan pemikirannya (rohaniah) dan fizikalnya (jasadiah) selari dengan apa yang diperintahkan di dalam alQuran.

Untuk mengecapi kesemua itu, Dr Wahbah mencadangkan kepada generasi kita agar menggembleng tenaga di antara kita dari pelbagai sudut dengan mereka yang sudah berpengalaman. Isyarat ini jelas kepada kita agar tidak meninggal khazanah turath Islam yang silam dan juga pertemuan baru pada dunia moden hari ini.

Apa yang menarik perhatian kita lagi, Dr Wahbah Zuhaili telah menempelak salah faham sesetengah masyarakat  kita tentang kedudukan alQuran sebagai kitab pertunjuk dan penyuluh hidup. Mereka menjadikan kitab ini sebagai simbol agama dalam majlis keramaian dan mengambil keberkatan sebagai contoh disini , membaca pada majlis tahlil arwah, pertandingan tilawah, bacaan pada berzanji dan lain-lain.

Sedangkan kedudukan alQuran dalam masyarakat kita adalah sebagai perlembagaan (دستور) untuk di amal dan di aplikasikan dalam kehidupan seharian. Perlembagaan ini bertujuan untuk meluruskan aqidah, memperindahkan akhlak, memajukan manusia, menyelarasi hubungan kemodenan sehinggalah terdiri sebuah tamadun yang di impikan bersama.

Allah swt, memerintahkan kepada kita agar mentadabbur alQuran serta beramal dengan apa yang dibawaNya. Sesuai dengan perintah ini, kita dilarang sama sekali mengikuti aliran ataupun golongan manusia yang menjadikan hawa nafsunya sebagai kiblat hidup apabila hanya mengambil  hukum dan melaksanakan seruan alQuran itu pada apa yang disukainya sahaja dan meninggalkan apa yang menyusahkannya.

Menurut Dr Wahbah , apabila kita menjadikan alQuran sebagai perlembagaan hidup, maka secara langsungnya, kita memahami bahawa, kesemua arahan yang terkandung di dalam alQuran baik berbentuk wajib, harus, sunnah, makruh dan haram adalah untuk mengislah kedudukan individu dan juga masyarakat. Amanat inilah menjadi kewajipan kepada kita semua agar menyampaikan pesan-pesan utama alQuran, menjelaskan kekeliruan masyarakat, mengajar serta menunjukkan di antara salah dan betul.

Kitab alQuran milik Allah swt yang kekal ini merupakan sumber hidayah kepada manusia, serta hujjah kepada mereka yang ingkar. Kejayaan inilah yang akan membawa kita kepada kebahagiaan di dunia sehinggalah terbentuk masyarakat yang aman damai dan bertamadun menurut ajaran alQuran.

وَأَنزَلۡنَآ إِلَيۡكَ ٱلۡكِتَـٰبَ بِٱلۡحَقِّ مُصَدِّقً۬ا لِّمَا بَيۡنَ يَدَيۡهِ مِنَ ٱلۡڪِتَـٰبِ وَمُهَيۡمِنًا عَلَيۡهِ‌ۖ فَٱحۡڪُم بَيۡنَهُم بِمَآ أَنزَلَ ٱللَّهُ‌ۖ وَلَا تَتَّبِعۡ أَهۡوَآءَهُمۡ عَمَّا جَآءَكَ مِنَ ٱلۡحَقِّ‌ۚ لِكُلٍّ۬ جَعَلۡنَا مِنكُمۡ شِرۡعَةً۬ وَمِنۡهَاجً۬ا‌ۚ وَلَوۡ شَآءَ ٱللَّهُ لَجَعَلَڪُمۡ أُمَّةً۬ وَٲحِدَةً۬ وَلَـٰكِن لِّيَبۡلُوَكُمۡ فِى مَآ ءَاتَٮٰكُمۡ‌ۖ فَٱسۡتَبِقُواْ ٱلۡخَيۡرَٲتِ‌ۚ إِلَى ٱللَّهِ مَرۡجِعُڪُمۡ     جَمِيعً۬ا فَيُنَبِّئُكُم بِمَا كُنتُمۡ فِيهِ تَخۡتَلِفُون

Dan Kami telah turunkan kepadamu Al Quran dengan membawa kebenaran, membenarkan apa yang sebelumnya, yaitu kitab-kitab (yang diturunkan sebelumnya) dan batu ujian terhadap kitab-kitab yang lain itu; maka putuskanlah perkara mereka menurut apa yang Allah turunkan dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu mereka dengan meninggalkan kebenaran yang telah datang kepadamu. Untuk tiap-tiap umat diantara kamu, Kami berikan aturan dan jalan yang terang. Sekiranya Allah menghendaki, niscaya kamu dijadikan-Nya satu umat (saja), tetapi Allah hendak menguji kamu terhadap pemberian-Nya kepadamu, maka berlomba-lombalah berbuat kebajikan. Hanya kepada Allah-lah kembali kamu semuanya, lalu diberitahukan-Nya kepadamu apa yang telah kamu perselisihkan itu.

IMAN : PERMATA DI DALAM ALQURAN

Dr Wahbah Zuhaili menyebut di dalam karyanya, bahawa hari ini kita lihat realiti keadaan kita dan kedudukan masyarakat mempunyai pelbagai kepercayaan. Kepercayaan itu samada berasal dari langit (samawi) yang benar, atau juga kepercayaan samawi yang sudah diputar belitkan. Hasilnya, muncullah golongan athies yang tidak beriman pada Allah dan kedudukan beragama, selain itu juga akan muncul golongan yang memisahkan kedudukan agama dari kehidupan. Tuhan menjelaskan golongan seperti ini hanyalah bermatlamatkan ‘kebendaan’ seperti harta dan kekayaan sahaja di dunia tanpa memikirkan aspek lain. Mereka terlupa faktor ini.

Kita dapati juga, hari ini masyarakat kita mempunyai mazhab tersendiri seperti kebebasan peribadi melebihi daripada campur tangan sebuah kerajaan. Mazhab ini kita kenali sebagai kapitalisme secara umum. Urusan mereka tidak boleh di ganggu gugat oleh mana-mana pihak kecuali pada keadaan mendesak. Segelintir masyarakat kita yang lain pula membenarkan perlunya campur tangan kerajaan dalam kebebasan peribadi rakyat untuk kepentingan masyarakat. Ianya di namakan secara umum sebagai sosialisme.

Adapun Islam, kita menyatakan bahawa, pegangan aqidah kita lebih meraikan pada pandangan yang ketiga iaitu, menggabungkan kedua-dua sudut pandang itu di antara maslahah (kepentingan)  peribadi dan juga maslahah (kepentingan) masyarakat. Ini adalah kerana untuk menyeimbangkan antara kedua dua identiti itu (sosialisme dan kapitalisme) bagi menegakkan keadilan, kebebasan, pilihan serta tujuan yang menguntungkan semua pihak tanpa kekerasan, berlebih-lebihan dan keganasan hanya kerana untuk memenangkan satu fahaman semata-mata.

Kita mengatakan bahawa, permata bagi orang Islam adalah iman. Beriman kepada Allah swt, mengquduskan zat, sifat dan af’alnya (perbuatan) daripada apa yang tidak layak buatNya. Mereka  ini takut pada azab pedih Allah pada hari pembalasan. Maka dengan kepercayaan ini, mereka tidak akan melakukan pengkhianatan dan pecah amanah dalam urusan seharianya yang melibatkan hak orang awam, mereka juga tidak cuai dalam melaksanakan ibadah, mereka tidak bersubahat terhadap kepentingan orang awam, tidak membeli suara hati rakyatnya untuk kepentingan dajjal jiwanya dan mereka tidak akan mengenepikan suruhan agama hanya mahu menghalalkan kegiatan rasuah dalam politik ataupun urusan kepentingan tertentu.

WAWASAN AMALAN SOLEH UNTUK DUNIA DAN AKHIRAT

AlQuran tidak turun di dunia untuk mensyariatkan kepada manusia agar menjadi golongan yang tiada keinginan pada habuan keduniaan dan perlu menjadi manusia zuhud secara mutlak ataupun terus putus hubungan dengan dunia untuk beribadat munajat kepada Allah swt. Ini bukanlah ajaran alQuran yang kita bicarakan ini. Kita juga mengatakan kepada mereka, bahawa ajaran ini juga tidak hanya memetingkan persoalan kebendaan dan harta benda sahaja. Kedua-dua ini tiada dalam ajaran Islam.

AlQuran datang membenarkan dunia sebagai pengikat menuju keabadian akhirat. Kita perlu membenarkan kedua-dua aspek ini dalam kefahaman kita sebagai muslim. Menjadikan dunia tempat bercucuk tanam kemudian akhiratlah tempat mengutip hasilannya. Dunia dicipta untuk manusia. Manusialah mencoraknya selari dengan apa yang di perintahkan Allah. Ini semua untuk mencapai kebahagiaan dengan mengabungkan tuntutan kedua-dua alam tersebut sebagaimana firman Nya :

وَٱبۡتَغِ فِيمَآ ءَاتَٮٰكَ ٱللَّهُ ٱلدَّارَ ٱلۡأَخِرَةَ‌ۖ وَلَا تَنسَ نَصِيبَكَ مِنَ ٱلدُّنۡيَا‌ۖ وَأَحۡسِن ڪَمَآ أَحۡسَنَ ٱللَّهُ إِلَيۡكَ‌ۖ وَلَا تَبۡغِ ٱلۡفَسَادَ فِى ٱلۡأَرۡضِ‌ۖ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُحِبُّ ٱلۡمُفۡسِدِينَ

Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmatNya yang melimpah-limpah) dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan. [Al-Qasas : 77]

AlQuran menuntut kita berkerja keras di dunia, dan menjauhi sifat malas, memakmurkan ladang-ladang serta tanah-tanah kalian supaya Allah menurunkan barakah dan keluasan rezeki yang melimpah-limpah. Firman Nya :

هُوَ ٱلَّذِى جَعَلَ لَكُمُ ٱلۡأَرۡضَ ذَلُولاً۬ فَٱمۡشُواْ فِى مَنَاكِبِہَا وَكُلُواْ مِن رِّزۡقِهِۦ‌ۖ وَإِلَيۡهِ ٱلنُّشُورُ

Dialah yang menjadikan bumi bagi kamu: Mudah digunakan, maka berjalanlah di merata-rata ceruk rantaunya, serta makanlah dari rezeki yang dikurniakan Allah; dan (ingatlah), kepada Allah jualah (tempat kembali kamu sesudah) dibangkitkan hidup semula; (maka hargailah nikmatNya dan takutilah kemurkaanNya). [Al-Mulk : 15]

Kita membetulkan salah tanggap manusia terhadap konsep ibadah di dalam alQuran (Islam). Bukanlah maksud ibadah itu hanya pada solat, puasa, berzikir, dan haji akan tetapi ibadah itu satu kata umum yang merangkumi semua aspek kebaikkan (mengekalkan kebaikkan) di dunia dan di akhirat. Sebagaimana di isyaratkan oleh Allah swt :

إِلَّا ٱلَّذِينَ تَابُواْ وَأَصۡلَحُواْ وَبَيَّنُواْ فَأُوْلَـٰٓٮِٕكَ أَتُوبُ عَلَيۡہِمۡ‌ۚ وَأَنَا ٱلتَّوَّابُ ٱلرَّحِيمُ

Kecuali orang-orang yang bertaubat dan memperbaiki (amal buruk mereka) serta menerangkan (apa yang mereka sembunyikan); maka orang-orang itu, Aku terima taubat mereka dan Akulah Yang Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani. [Al-baqarah 160]

ISLAM AGAMA BERPAKSIKAN AKAL DAN ILMU

Allah swt tidak membiarkan manusia tercungap-cungap di dunia, DIA telah menunjukki jalan kepada kita melalui pesan kitabNya dari langit (wahyu ilahi) dan utusan para pembawa risalah kerasulan. Allah swt juga menganugerahkan akal untuk menjelaskan perkara yang membingungkan serta ilmu yang bermanfaat untuk memahami urusan dunia serta menuju sebuah masyarakat yang moden lagi bertamadun.

Hubung kait antara wahyu ilahi, risalah kenabian, akal yang sejahtera dan ilmu yang bermanfaat  ini adalah satu ‘kemestian’ dalam mencerahkan kemana arah tuju manusia untuk pergi di daerah ini. Asbab kita menggunakan kesemua hubung-kait itu adalah bagi mencapai hidayah serta ganjaran di sisiNya.

Akal merupakan alat untuk berfikir. Sesungguhnya Allah swt telah mengangkat kedudukan manusia serta memuliakannya dengan anugerah akal yang sejahtera. Sebagaimana kata Imam Al-Ghazali :

تردد ذكر العقل في القرآن زهاء خمسين مرة , وذكر أولي الألباب بضع عشرة  مرة , وأولي النهي مرتين

“Berulangkali Allah menyebut kedudukan akal di dalam alQuran hampir 50 kali, disebut pula kewibawaan golongan ulil albab sekitar 13-17 kali (بضع عشرة), dan dicerita tentang golongan cerdik pandai sebanyak 2 kali”

Ini menggambarkan kepada kita kedudukan akal dan ilmu dalam Islam.

AGAMA DAN KEMASYARAKATAN

Antara matlamat dan tujuan besar alQuran alKarim adalah membangunkan diri dan masyarakat kearah yang soleh. Ini tidak lain tidak bukan adalah untuk menuju pencerahan dan hidayah, kebaikan dan kemaslahatan, kunci kepada kebahagiaan, sistem hidup yang mulia. Oleh itu, kita fahami dari konteks kehendak realiti ajaran ini, tujuan agama bukan semata-mata membersihkan aqidah dan kepercayaan di dalam hati, membenarkan tatacara ibadat yang betul, mensucikan Allah swt daripada sifat kekurangan, mengagungkan kebesaranNya. Akan tetapi, interaksi di antara agama dan kemasyarakatan merupakan sasaran penting yang sering kali kita mengabaikannya.

Sesungguhnya Islam secara langsung menyusun rapi soal agama dan kemasyarakatan. Menurut Dr Wahbah, bagi mencapai kemaslahatan bersama dalam hal ini, paling kurang perlu menitik beratkan pada 3 aspek penting iaitu :

1- Hubungan manusia dengan Tuhan (Allah Azzawajalla)

2- Hubungan dengan diri sendiri

3- Hubungan manusia sesama manusia (masyarakat).

Setiap pecahan itu punyai peranan dan hak tersendiri. Sebagaimana yang telah kita bincang sebelum ini dari aspek tauhid dan akal (hubungan dengan Tuhan), aspek keduniaan (hubungan sesama manusia dan diri sendiri) dan juga persoalan tentang hubungan antara agama dan kemasyarakatan.

PENUTUP

AlQuran alKarim bukanlah kitab untuk orang muslim sahaja, akan tetapi ianya sebuah perlembagaan untuk semua insan bagi alam ini dan juga masyarakat dunia. Sifatnya langit (datang dari tempat tinggi) serta mempunyai nilai-nilai bersifat universal dan kekal. Sesuai untuk setiap ketika, zaman dan generasi.

AlQuran alKarim bukanlah sebuah kitab untuk di baca pada pertandingan tilawah alQuran sahaja, tetapi ia merupakan sebuah manhaj yang jelas dalam kehidupan, serta manhaj untuk membaikki diri sendiri dan masyarakat.

Kitab ini cuba mendekatkan balik manusia dengan alQuran, mengenal agama serta beragama, bagi membentuk sebuah harapan yang di impikan, membentuk generasi yang kontemporari, mendepani cabaran dan usia dunia, kemodenan dan kitab ini juga mengamanahkan kepada kita sebagai pemuda yang di harap-harapkan (المنشود) untuk menegakkan nilai-nilai alQuran, mewajibkan mereka menyampaikan, menjelaskan, mendidik, serta memberi keterangan yang soheh.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s