Tuan Guru Nik Aziz : Sebuah Kematian Yang Menghidupkan

Tuan Guru Nik Aziz

Sebuah Kematian yang Menghidupkan

Disediakan Oleh : Muhammad Hasnan Bin Daud[1]

MUQADDIMAH

Kurang lebih 15 tahun yang lalu, saya mengenali sosok ini secara tidak serius. Saya tidak banyak pengalaman dan kenangan bersama TGNA[2]. Beliau tidak kenal saya dan saya pula tidak pernah bersua secara langsung dan berborak dengan beliau kecuali sekali sahaja, iaitu pada bulan Ramadhan tahun 2006, arwah singgah solat Asar di Kampung Semuba, usai solat beliau memberikan sedikit tazkirah asar.

Kebetulan waktu itu saya salah seorang yang berada di dalam masjid (waktu itu saya tingkatan 2). Tamat tazkirah Asar, saya menghampiri beliau dan menghulurkan tangan untuk bersalaman kemudian saya kucup dahinya. Perbuatan itu sebenarnya spontan dan berlaku begitu pantas, namun demi Allah, saya tidak akan lupa kenangan manis itu. Hari ini, baru saya mengerti bahawa perbuatan saya yang lepas merupakan tradisi mulia antara penuntut ilmu agama apabila bertemu guru yang merupakan murabbi dan muaddib. Mereka akan bersalaman sambil mengucup dahi sebagai tanda hormat.

Insya Allah, tulisan ini tidak terlalu ilmiah tetapi cukup sekadar perkongsian pengalaman rehlah kehidupan saya dalam mencari sebuah kehidupan yang menghidupkan dan bermakna.

IMG_3596

APAKAH MAKSUD KEHIDUPAN YANG MENGHIDUPKAN?

Bila kita berkongsi cerita tentang kehidupan, hidup kita ini tidak akan terlepas dari diuji dengan pelbagai perasaan. Sama ada perasaan yang menyempitkan jiwa, kekecewaan, ataupun kesedihan, rasa rendah diri yang melampau dan sebagainya. Ujian-ujian ini akan terus bertapak dan membiak seandainya kita tidak mencari rawatan dan tidak berusaha menanggalkannya.

Sebenarnya kita boleh merawatnya dengan melihat kebesaran-NYA yang terdapat disekeliling kita saat ini. Tetapi disebabkan hati tidak ‘hidup’ akhirnya kebesaran Allah disekeliling kita, tidak membawa apa-apa erti dan makna. Kita kekeringan jiwa !

Saya seorang anak muda seperti kalian, mungkin beza kita hanyalah pada jantina dan biologi. Tetapi bila kita menyebut tentang kehidupan, sebenarnya tidak ada perbezaan yang ketara. Tuhan saya Allah SWT, Rasul saya Nabi Muhammad SAW dan Kitab Agung saya adalah Al-Quran. Begitu juga dengan anda sekalian.

Kita sama dalam aspek ini!

Bahkan dalaman kita juga sama. Saya, anda, ustaz dan ustazah juga mempunyai bisikan baik, bisikan jahat, dorongan syahwat dan kita juga memiliki sebuah perasaan dalaman (a’tifah) seperti mahukan tarbiah, didikan agama, perlukan seseorang yang mampu memberi nasihat yang menyentuh hati lantas terus menggerakkan anggota lain kearah kebaikan.

Kita sebenarnya sama bukan?

Namun apakah kesamaan kita ini akan terus berkekalan? Jawapannya tidak. Berkemungkinan anda lebih tenang berbanding saya apabila menghadapi ujian air mata, anda lebih jujur daripada saya apabila bangun solat tahajjud dua pertiga malam, kerinduan anda pada kekasih Allah lebih dalam daripada saya.

Maka di sini terdapat perbezaan antara saya dan anda dari aspek rehlah kehidupan mencari kedamaian hidup, menyuluh kebenaran pada keyakinan dan mendapat ketakutan sebenar yang membawa kepada taqwa kepada Allah SWT.

Kerana inilah sebab mengapa Allah berfirman di dalam surah Alfatir ayat 28 :

إِنَّمَا يَخۡشَى ٱللَّهَ مِنۡ عِبَادِهِ ٱلۡعُلَمَـٰٓؤُاْۗ إِنَّ ٱللَّهَ عَزِيزٌ غَفُورٌ

“Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-hambaNya hanyalah orang-orang yang berilmu, sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Pengampun.”

Kehidupan kita ini akan hidup seperti mana hidupnya pohon di tengah-tengah padang pasir yang kering kontang , tanah merekah dek ketandusan dan kekeringan air lalu setelah langit mencurahkan air hujan , pokok kembali tumbuh menghijau lalu mencambahkan dahan-dahan kemudian mengeluarkan hasil yang lumayan. Subhanallah.

Begitu juga dengan kita. Kita akan kembali hidup dengan sebenar-benar kehidupan di dunia apabila kita berterusan dalam basahan agama sebagaimana yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW. Lalu apa kaitannya dengan kematian TGNA yang menghidupkan?

1nik_aziz_new11.jpg

TGNA, SEBUAH KEMATIAN YANG MENGHIDUPKAN

Anda mungkin ada pengalaman perjalanan rohani tersendiri. Mungkin ada dalam kalangan kita dari awal hingga ke tua bangka, ibubapanya memang mengambil berat soal urusan agama. Namun begitu, ada dalam kalangan kita mempunyai pengalaman rohani yang sangat mencabar dan kusut di pertengahan jalan. Mungkin juga ada yang gugur dan putus asa.

Di sini, saya cuba ceritakan serba sedikit pengalaman rohani saya dalam mencari sebuah kehidupan yang menghidupkan. Walaupun tentunya kehidupan saya ini akan terus bergelut dan bertarung hari demi hari untuk memastikan apa yang telah saya dapat hari ini (hidayah Islam dan Iman) akan terus basah sehingga saya mati bertemu Tuhan.

Sebagaimana tajuk tulisan ini, “Tuan Guru Nik Aziz sebuah kematian yang menghidupkan”, itulah gambaran keseluruhan tentang pengalaman rohani saya. Saya tidak memaksa anda mencontohi pengalaman rohani saya , anggap saja ini perkongsian santai biasa.

Saya akan menceritakan sedikit pengalaman penting yang saya belajar secara tidak langsung daripada TGNA melalui laras bahasa beliau, manhaj pemikiran dakwah yang saya peroleh daripada TGNA, dan bagaimana kaedah dakwah TGNA sehinggakan kita dapat lihat implikasi yang sangat luar biasa.

Kita dapat melihat dan mendengar sendiri, apabila ada artis atau selebriti yang berhijrah kepada kehidupan yang lebih baik seperti memakai hijab/tudung, menutup aurat, dan sebagainya, pasti akan ada dalam kalangan mereka yang mengambil sedikit ruang dan kesempatan untuk bertemu dengan TGNA.

Apakah ini perkara biasa atau kebetulan yang dirancang? Jawapannya tidak, itulah tanda kehebatan dan keizzahan beliau. Bahkan pemergian beliau ditangisi oleh semua warga Malaysia baik kawan mahupun lawan hatta mereka dari luar negara yang mengenali beliau di arena dakwah juga turut berduka.

Pemergian TGNA pada 12 Februari 2015 lalu, sebenarnya sebuah pemergian yang menghidupkan. Sekalipun beliau tidak lagi mampu kembali ke dunia untuk memperbaiki keadaan rakyat tercinta yang mana hari ni dalam pergelutan rohani, penindasan atas nama agama, penyalahgunaan kuasa dan tekanan ekonomi yang maha dahsyat.

Tetapi saya tetap optimis pada dakwah dan idea yang telah dilontarkan oleh TGNA semasa hayat beliau sangat meninggalkan bekas pada rakyat jelata.

Input-input seterusnya saya akan fokuskan pada apa yang telah saya pelajari secara tidak langsung.

  1. BAHASA SANTAI DAN MAKSUDNYA MUDAH DIFAHAMI.

Seandainya kita berbicara dengan dua orang kenalan, Salah seorang daripadanya suka bercakap dengan laras bahasa yang tinggi dan tidak membumi, manakala seorang lagi sering meringkaskan isi-isi penting , disebabkan ringkasan tersebut, pendengar telah memahami maksud yang ingin disampaikan. Lalu mana pilihan kita? Tentunya menjadi orang yang kedua.

Antara naqibah (pengemudi usrah/halaqah) yang sedikit membaca dan naqibah yang banyak membaca, yang mana satu menjadi pilihan hati ahli usrah? Pastilah yang kedua. Mengapa? Kerana memang tabiat kita orang Melayu mahukan input yang ringkas, padat, bererti, dan senang difahami supaya boleh diamalkan dengan segera.

tok-guru-nik-aziz-kota-bharu-kelantan.jpg

Bahkan Allah SWT tidak mensyaratkan kita supaya menjadi alim dan warak barulah boleh berdakwah di jalan-NYA. Tetapi jika kita mempunyai secebis ilmu bermanfaat (berkaitan Islam), kita digalakkan untuk beramal dan menyebarkannya secara langsung. Islam bukan agama yang susah, tidak perlukan gelaran Prof Madya untuk bertindak dan menyebarkan ilmu. Itulah sebabnya mengapa Nabi Muhammad SAW menyebut, “sampaikanlah dariku walau satu ayat”.

Begitulah sifat TGNA apabila beliau memberi pengisian dalam majlis-majlis ilmu seperti di medan ilmu. Kita akan dapati bahasa beliau sangat santai, mesra rakyat, rendah diri, logik dan maksudnya mudah difahami. Inilah yang dinamakan hikmah. Antara ciri kata-kata hikmah adalah , (قول موجز صائب الفكرة , دقيق التعبير….) “sedikit perkataannya namun membawa maksud yang mendalam”.

Hari ini, para pembawa amanah baik ahli politik, guru, nuqaba dan juga diri sendiri, banyak bercakap, namun tidak banyak input yang boleh diambil. Inilah musibah yang tidak disedari. Oleh itu, banyak cara yang boleh kita teladani daripada sikap TGNA ini, antaranya :

1- Sebelum membuat pengisian , periksa dan teliti dahulu tajuk yang belum dikongsi. Jangan ulang isu atau perkara yang sama.

2- Sebelum memetik mana-mana ayat Al-Quran atau hadis, periksa dahulu nama surah, juzuk, dan hadis riwayat siapa, sahih ataupun tidak.

3- Sebelum membuat halaqah, wajarlah naqibah menyenaraikan isi-isi penting untuk dikongsikan. Bukan sekadar membawa kitab dan buah tasbih untuk dilihat alim. Elakkan rasa diri tahu segala-galanya.

4- Perkara paling penting yang sering kali diabaikan, jangan sesekali menganggap orang dihadapan anda tidak tahu apa-apa. Besar kemungkinan, ahli usrah/pendengar itu lebih banyak membaca daripada kita dan juga lebih warak pada kita. Merendah dirilah!

5- Buatlah persediaan rapi dan yang seangkatan dengannya.

“Jangan malu untuk berkata tidak tahu.”

“Dan jangan pula sering berkata anda tidak tahu kerana itu tanda anda malas membaca.”

  1. MANHAJ DAKWAH TGNA

Sebelum saya terangkan manhaj dakwah TGNA, mungkin ada baiknya saya jelaskan dahulu maksud manhaj agar tidak disalah erti. Manhaj itu adalah jalan yang dipilih untuk dijadikan panduan baik dari segi perkataan, perbuataan ataupun perwatakan dalam bidang yang ingin diceburi. Manhaj dakwah TGNA adalah :

2.1 Ilmu

Manhaj dakwah pertama adalah ilmu. Apa yang kita faham tentang ilmu? Ilmu itu sendiri mempunyai terlalu banyak takrifan. Tetapi saya tidak berminat untuk mengulas tentang takrif ilmu. Tapi saya berminat untuk mengolah ilmu yang dimaksudkan oleh TGNA yang ringkas dan padat. Jarang-jarang kata-kata TGNA terasa seolah menyengat. Kata TGNA, belajarlah apa sahaja asalkan ia membawa kamu kepada syurga. Belajarlah ilmu sains asalkan menuntun kepada syurga. Belajarlah ilmu seni bina/arkitek asalkan ilmu itu membantu kearah mencapai syurga. Apatah lagi belajar ilmu agama, kerana dengan ilmu itu akan membawa ke syurga.

“belajarlah apa apa ilmu asalkan bawa kepada syurga (kebaikan akhirat)”.

Kalau anda seorang pimpinan sekolah maka ilmu kepimpinan perlu ada, kalau anda seorang naqibah (pengemudi usrah/halaqah agama) maka ilmu seorang naqibah perlu ada. Senang kata setiap apa bidang yang diceburi perlu berasaskan dengan ilmu.

TGNAL

Apa yang perlu kita ambil perhatian disini ialah, hari ini kita lihat banyak golongan agama bercakap tentang agama tetapi hakikatnya tidak mempunyai autoriti/keahlian maka mereka itu ibarat seperti tikus membaiki labu. Nampak berjuang untuk Islam tetapi hakikatnya merosakkan Islam. Bukan salah anda nak bercakap tentang agama, tetapi kalaulah anda tidak punyai disiplin dalam belajar dan tidak belajar bersungguh-sungguh, adakah anda akan memahami ilmu itu dengan baik ?

Hari ini kita melihat kerosakan luar biasa dalam semua perkara, baik ekonomi, mahupun kebejatan sosial anak-anak muda, bahkan urusan fardu ain masyarakat. Seakan-akan kita hidup di zaman ‘edan’ (gila). Kalaulah urusan mendidik masyarakat itu tidak berasaskan ilmu yang betul oleh golongan yang sepatutnya, apa yang bakal terjadi? Makin rosaklah dunia.

Oleh itu, golongan agama perlu mengakui bahawa kita tidak perlu bercakap dan mengulas perkara yang diluar bidang kita kerana kita tidak menguasai ilmu dalam semua perkara dengan baik. Jadi, apabila timbul isu ekonomi, berilah ruang kepada ahli ekonomi untuk merespon, adapun ahli sains jangan terlalu ghairah membuat komentar. Begitulah kita yang sewajarnya. Kalau kita tidak mempunyai informasi dan maklumat yang banyak, maka perbanyakkanlah belajar, membaca dan merujuk guru-guru.

TGNA sangat menitik beratkan soal ini. Kita dapat lihat bagaimana beliau kemudikan PAS dengan berjaya. Apa rahsianya? Beliau bermula dengan ilmu bukan sekadar ghairah memegang mikrofon dan lantang berceramah politik.

TGNA setelah pulang dari timur tengah beliau tidak langsung terjun dalam arena politik. Beliau memberi tumpuan 100% kepada ilmu agama. Apabila beliau dilantik memegang jawatan Menteri Besar dan Mursyidul Am PAS kita dapat lihat beliau ketika itu memiliki ilmu yang masak dan matang. Apa yang berlaku? Beliau banyak melakukan perubahan. Inilah manhaj dakwah terpenting TGNA sebagai ‘centre of turning point’ iaitu ILMU.

2.2  Selalu menyebut matlamat akhir (akhirat)

Ajaib dakwah TGNA. Dalam kecamuk politik, kita dapati beliau tetap menitikberatkan soal matlamat akhir kita iaitu akhirat. Beliau menyebut, bila anda berpolitik biarlah politik tu boleh membawa kepada akhirat (syurga). Ini bermakna, beliau menerima perkara berkaitan dunia tetapi dalam masa sama beliau tidak lupa pada matlamat akhir iaitu akhirat yang seringkali dilupakan oleh kebanyakan manusia.

B9tYIZNCYAEQmbo.jpg

Matlamat akhirat ini sebenarnya sejalanan dengan sabda Nabi SAW :

Ibnu Umar radhiyallaahu ‘anhuma berkata, “Suatu hari aku duduk bersama Rasulullah shallallaahu ‘alaihi wa sallam, tiba-tiba datang seorang lelaki dari kalangan Anshar, kemudian ia mengucapkan salam kepada Nabi shallallaahu ‘alaihi wa sallam dan bertanya, ‘Wahai Rasulullah, siapakah orang mukmin yang paling utama?’ Rasulullah menjawab, ‘Yang paling baik akhlaqnya’. Kemudian ia bertanya lagi, ‘Siapakah orang mukmin yang paling cerdas?’. Beliau menjawab, ‘Yang paling banyak mengingat mati, kemudian yang paling baik dalam mempersiapkan kematian tersebut, itulah orang yang paling cerdas.’[2]

Ini bermakna, TGNA sebenarnya berdakwah seperti dakwah Nabi Muhammad SAW secara tidak langsung. Maka, impak positifnya kita akan menjadi hamba Allah yang menerima dunia sebagai jambatan ke akhirat. Kesannya juga, kita akan jadi pemimpin yang rendah diri , pemaaf dan mempunyai haibah (kehebatan dan keizzahan).

2.3  Tauhid dan praktikal dalam kehidupan.

Ini manhaj dakwah terakhir TGNA. Sebelum itu, anda mesti pernah mendengar ura-ura mengatakan TGNA ini wahabi kan? TGNA ini anti tauhid sifat 20. Betul tak? Anda mesti perasan. Namun, adakah anda perasan apa yang dilakukan oleh TGNA? Subhanallah, kalau anda seorang yang membaca fiqh awlawiyyat (fiqh prioriti/keutamaan) dan fiqh muazanat (pertimbangan antara baik buruk), pasti anda akan perasan apa yang telah dilakukan oleh TGNA apabila beliau dilabel dengan bermacam-macam labelan.

Saya tidak berniat untuk membahaskan soal aqidah ashaierah, aqidah salafi dan sebagainya. Tetapi saya ingin terangkan bagaimana manhaj dakwah TGNA dalam aspek tauhid.

Maha Suci Allah yang telah menganugerahkan kepada kita seorang ahli politik (Menteri Besar) yang hebat dan dalam masa yang sama, lisan beliau tidak lekang dari menyebut ayat-ayat tauhid apabila diberi peluang bercakap di hadapan rakyat. Perkara ini pada saya tersangat ajaib dan mana mungkin orang tidak kuat ilmu dan imannya mampu bercakap berkaitan tauhid dicelah pertarungan politik hari ini yang makin jauh dari nilai-nilai agama dan semangat demokrasi.

Inilah kelebihan beliau. Beberapa pentaksub aliran tertentu melabelkan beliau aqidah sesat tetapi dalam masa yang sama beliau cuba membawa rakyat untuk cintakan Allah, dan berpegang teguh dengan mentauhidkan Allah yang ESA. Perhatikanlah setiap kali di medan ilmu, beliau akan cuba untuk mengaitkan pembelajaran tauhid dengan beberapa hal seperti sains, alam semesta dan logik.

Bagaimana darah dalam badan kita mengalir? Siapa yang cipta darah ini? Kalau manusia yang cipta, adakah waktu malam (waktu manusia tidur) mereka mampu memastikan darah dalam tubuh badan terus bergerak? Jawapannya tidak. Manusia penuh dengan kelemahan, Ini bermakna darah dalam badan kita ini ada penciptanya. Siapa? Allah. begitulah konsep tauhid praktikal yang dibawa oleh TGNA. Subhanallah. Kita benar-benar merindui sosok tubuh ini.

Kita juga boleh mengikut jejak langkah TGNA ini. Jadilah naqibah yang membawa ahli-ahli usrahnya terus kukuh mentauhidkan Allah SWT, menjauhi larangan, mengelak daripada melakukan perkara yang dibenci-NYA.

PENUTUP

Tetapi Allah SWT tidak meninggalkan kita terkapai-kapai, dia menciptakan 2 nikmat yang mahal, iaitu pendengaran dan penglihatan. Gunakanlah kedua-dua pancaindera ini untuk mencapai kenikmatan di dunia yang terhad dan di akhirat yang selama-lamanya. Semoga kita menjadi hamba Allah SWT yang bersyukur.

وَٱللَّهُ أَخۡرَجَكُم مِّنۢ بُطُونِ أُمَّهَـٰتِكُمۡ لَا تَعۡلَمُونَ شَيۡـًٔ۬ا وَجَعَلَ لَكُمُ ٱلسَّمۡعَ وَٱلۡأَبۡصَـٰرَ وَٱلۡأَفۡـِٔدَةَ‌ۙ لَعَلَّكُمۡ تَشۡكُرُونَ

“Dan Allah mengeluarkan kamu dari perut ibu kamu dengan keadaan tidak mengetahui sesuatupun dan Dia mengurniakan kepada kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (akal fikiran); supaya kamu bersyukur.”  (Surah An-Nahl ayat 78)

Semoga dengan perkongsian ini, kita dapat menjadikan TGNA ‘role model’ dalam medan dakwah kita. Bagaimana al-Quran itu mampu menyelesaikan banyak perkara, bagi orang yang berfikir dan berilmu. Sedikit pengalaman ini akan memberi bekas dalam hati dan perwatakan kita untuk jangka masa yang panjang. Insya Allah.
1014948_841615535904611_819582079538491969_o

hqdefault
Sebuah Kematian Yang Menghidupkan

HasnanDaud/30.1.2016/Universiti Islam Madinah.

Nota Kaki

[1] Beliau merupakan lepasan Maahad Muhammadi Lelaki , SPM 2009. Kini menyambung pelajarannya ke Universiti Islam Madinah , Saudi Arabia , dalam jurusan Shariah Islamiah.

2 TGNA adalah singkatan kepada Tuan Guru Nik Aziz

3 HR. Ibnu Majah, Thabrani, dan Al Haitsamiy. Syaikh Al Albaniy dalam Shahih Ibnu Majah 2/419 berkata : hadits hasan

Advertisements

2 thoughts on “Tuan Guru Nik Aziz : Sebuah Kematian Yang Menghidupkan

  1. Assalam ustaz…sye nur izzah humaira..pelajar MP3 …apa hukum kita mencium kaki tokoh ataupun seorang yg mahram dgn kita…walaupun memohon maaf sekalipun

    1. Ada perbahasan ulama dalam permasalahan ini. Secara umum perbuatan tersebut tidak dibenarkan kerana mencium kaki tokoh akan menyebabkan kita merendahkan kepala kebumi dan perbuatan ini adalah terlarang dalam ajaran kita. Kemudian perbuatan ini akan membuka jalan kepada kesyirikan. Oleh itu nasihat, jangan cium kaki tokoh sebab kaki mereka belum tentu akan pijak tanah syurga! jadi, nasihat saya… hormati tokoh tidak perlu sampai sujud atau mencium kaki.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s